Dengan dua kes disahkan setakat ini dan 18 lagi menunggu keputusan, Malaysia berdepan gelombang ganas Omicron yang kini sudah menular di lebih 77 negara di benua Afrika, Eropah dan Asia.
“Siap siaga semua, sudah ada dalam negara, hanya menunggu masa,” Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu sidang media semalam, ketika melaporkan kes kedua varian yang dibimbangi (VOC) Covid-19 itu.
Beliau juga sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, untuk mengarahkan semua petugas barisan hadapan perubatan kembali ke ‘medan perang’.
Kes kedua varian Omicron ini membabitkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia berusia lapan tahun yang kembali ke negara ini bersama ibu dan adik perempuannya dari Lagos, Nigeria pada 5 Disember lalu.
Kes pertama varian Omicron Malaysia pula membabitkan seorang pelajar berusia 19 tahun (bukan warganegara) sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak yang sudah lengkap mengambil vaksin dan melakukan perjalanan pulang dari Afrika Selatan.
Varian Omicron yang mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan, diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26 November lalu.
Menurut kajian seorang saintis Jepun, varian Omicron mempunyai daya tular 4.2 kali ganda pada peringkat awal, berbanding varian Delta.
China dan Indonesia antara negara terkini melaporkan kes varian Omicron, sementara United Kingdom (UK) pada Selasa lalu (14 Disember) melaporkan kematian pertama akibat varian koronavirus Omicron, sejak kes pertama dikesan di negara berkenaan pada 27 November.