2023: 5 Industri dengan permintaan tertinggi tahun ini!!

2023: 5 Industri dengan permintaan tertinggi tahun ini!!

DUNIA kerjaya berkembang dan berubah sepanjang masa. Dalam era teknologi hari ini, perkembangannya lebih pantas dan pesat.

Tahun 2023 dijangka mencabar dari segi ekonomi, namun itu tidak menghalang pasaran pekerjaan untuk terus berkembang. Pelbagai industri masih memerlukan tenaga kerja untuk bertahan serta membangun dan ini peluang yang perlu diberi perhatian oleh para pemburu kerja.

Kebiasaannya, senarai pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi pada tahun tertentu akan fokus kepada jawatan tetapi Relevan mahu bawakan kelainan. Berbanding jawatan yang spesifik, kita bercerita tentang industri.

Dalam satu industri, peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan boleh wujud. Bukan sahaja untuk pemburu kerja baharu, industri yang subur dengan tawaran pekerjaan juga perlu diketahui mereka yang mahu melompat kerja dan memajukan kerjaya masing-masing.

Industri-industri yang disenaraikan di bawah, menurut Ahli Majlis Forbes, Tim Madden, merupakan industri terbaik untuk diceburi pemburu kerja pada 2023.

*1. E-dagang*

Impak pandemik masih ada. Tiga tahun lalu, penularan wabak Covid-19 yang menyekat pergerakan fizikal warga dunia melonjakkan potensi perniagaan dalam talian. Kini, ketika impak pandemik semakin menyusut, e-dagang terus menjadi pilihan utama pelanggan.

Perniagaan dalam talian sangat subur di benua Amerika Utara dan Asia, manakala potensinya di Afrika, Amerika Latin dan Eropah Barat terus berkembang. Morgan Stanley menjangkakan, industri e-dagang akan mencapai 27 peratus jualan runcit global menjelang 2026, berbanding 22 peratus sekarang.

Syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa akan berusaha mengembangkan perniagaan dalam taliannya pada 2023. Industri ini mempunyai potensi besar dan ini juga peluang untuk pemburu kerja yang mengimpikan pekerjaan dengan laluan kerjaya terjamin serta gaji yang lumayan.

*2. Pengkomputeran awan*

Sekali lagi, impak pandemik memberi kesan kepada pasaran pekerjaan. Disebabkan pandemik, kerja dari rumah semakin menjadi kebiasaan.

Amalan kerja berjauhan dan hibrid mendatangkan keperluan baharu: bagaimana operasi syarikat dan perkongsian maklumat boleh terus berjalan lancar ketika pekerja berada berjauhan secara fizikal?

Jawapannya, pengkomputeran awan.

Menerusi pengkomputeran awan, maklumat dan data dapat diselaraskan dengan cepat dan tersusun. Malah, pasaran ini juga dijangka berkembang 15.7 peratus setiap tahun antara 2022 hingga 2030, maka permintaan tenaga kerjanya pastilah meriah.

Dan permintaannya bukan hanya terhad kepada jurutera, malah juga pengurus projek, pakar keselamatan siber, konsultan serta profesional lain.

*3. Kecerdasan buatan*

Kecerdasan buatan sudah disebut-sebut sebagai teknologi masa hadapan sejak berdekad lalu. Ketika ini, perkembangannya mencapai tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Teknologi kecerdasan buatan kini diguna pakai dalam hampir semua sektor; dari makanan, perubatan hingga perniagaan.

Pasaran kecerdasan buatan dunia dijangka berkembang 20.1 peratus antara 2022 hingga 2029. Industri ini juga antara yang paling meriah dengan kemunculan syarikat pemula baharu.

Syarikat-syarikat ini akan memerlukan tenaga pakar dalam semua bidang, termasuk kewangan, pemasaran dan khidmat pelanggan.

*4. Kesihatan*
Kesihatan sentiasa menjadi industri yang penting dan kebimbangan berkenaan penularan penyakit berjangkit serta tidak berjangkit dalam beberapa tahun ini menambah signifikannya dalam pasaran pekerjaan.

Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, pengambilan pekerja dalam industri kesihatan dijangka berkembang 13 peratus antara 2021 hingga 2031. Trend sama dijangka berlaku dalam negara-negara lain juga.

Selain jawatan teknikal seperti pakar perubatan dan jururawat, jawatan pengurusan dan perkhidmatan perniagaan dalam industri kesihatan juga ada permintaannya tersendiri, lebih-lebih lagi dalam sektor swasta.

*5. Hospitaliti*

Kejatuhan industri hospitaliti sepanjang kemuncak pandemik kira-kira tiga tahun lalu membuka ruang pertumbuhan yang besar buat industri ini. Banyak syarikat pelancongan, perhotelan dan penerbangan kini mengalami pertumbuhan terbaik mereka dalam tempoh beberapa dekad.

Selain jawatan perkhidmatan, peluang dalam tahap pengurusan dan profesional juga semakin meluas.

Di Malaysia sahaja, kerajaan memperuntukkan RM16 bilion dalam Bajet 2023 bagi mengurus dan membangun sektor pelancongan, seni dan budaya. Ia dijangka menjadi industri yang mekar dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan.

BACA JUGA :

4 cara hafal al-Quran yang boleh diamalkan oleh guru dan murid

Jenis-jenis ‘Sabar’ yang perlu diketahui

Pentingnya Doa Ibu.. Wajib Diketahui!!

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] 2023: 5 Industri dengan permintaan tertinggi tahun ini!! […]