22 juta data pelanggan Maybank bocor!

Semalam, kecoh di media sosial berhubung laporan yang mendakwa 22 juta data pelanggan Maybank telah dijual menerusi pasaran gelap.

Antara data sensitif yang dikatakan menjadi dagangan adalah nama, tarikh lahir, nombor telefon, alamat, kata laluan dan maklumat yang melibatkan hampir keseluruhan data peribadi pengguna.

Berikutan isu terbabit, Maybank hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi yang memberi jaminan kepada pelanggan bahawa sistemnya masih kekal selamat dan semua maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya.

Maybank menerusi hantaran di platform X memaklumkan pihaknya memandang serius terhadap kebimbangan tersebut selain memastikan data dilindungi pada setiap masa.

“Kami memandang serius kebimbangan keselamatan tersebut dan terus memantau serta memastikan data dilindungi pada setiap masa.

“Dengan pelbagai langkah penipuan dilaksanakan termasuk penggunaan Secure2U untuk mengesahkan transaksi dan tempoh bertenang didayakan untuk transaksi berisiko tinggi, transaksi dalam talian pelanggan kami terus dilindungi.

“Kami ingin mengingatkan pelanggan kami untuk sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat mereka.

“Sila pastikan ID Pengguna, kata laluan dan butiran peribadi anda selamat, dan berhati-hati terhadap perisian perosak, mesej WhatsApp dan tapak pancingan data serta panggilan telefon yang meminta kelayakan anda,” tulis bank itu pada Rabu menerusi platform.

Baca : Tak banyak beli barang, pemandu pelancong maki client dalam bas