3 ADUN warisan sokong Hajiji, bertindak keluar parti

3 ADUN warisan sokong Hajiji, bertindak keluar parti. Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (Warisan) mengumumkan keluar parti pada Isnin.

Tiga ADUN berkenaan ialah Mohammad Mohamarin (ADUN Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak).

Norazlinah berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai aspek dan hala tuju parti serta pandangan akar umbi di kawasan masing-masing.

“Setelah memperhalusi pelbagai aspek dari segenap sudut dan pertimbangan termasuklah selepas mengambil kira hala tuju parti dan pandangan akar umbi di kawasan kami wakili, maka kami dengan ini mengisytiharkan keluar parti Warisan dan memilih berkhidmat sebagai ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.

“Kami berharap dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang kami wakili, kami mengucapkan jutaan terima kasih dan memohon kemaafan kepada Presiden (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), rakan-rakan dan penyokong parti,” katanya menerusi kenyataan bersama.

Beliau berkata, mereka bertiga turut melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau di peringkat Ahli Majlis Tertinggi.

“Kami berpandangan bahawa sudah tiba masanya polemik politik dan juga sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan,” katanya.

Norazlinah yang juga Ketua Wanita Warisan pada 16 Januari lalu menafikan dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan Warisan.

Beliau turut menafikan ada menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti seperti yang ditularkan sebelum ini.

Warisan sebelum ini mempunyai seramai 19 ADUN selepas enam ADUN daripada parti itu menyatakan pendirian untuk keluar daripada parti.

ADUN yang keluar sebelum ini ialah Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan).

BACA JUGA:

Malam ini PMX ‘kembali’ ke ibu pejabat UMNO

BANJIR JOHOR: Berbaki 506 mangsa banjir di lima pps

60 notis dikeluarkan KPDN, siasat kenaikan harga sayur

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] 3 ADUN warisan sokong Hajiji, bertindak keluar parti […]