3 bulan tak jumpa, kucing tak mahu berpisah dari pelukan tuannya

Mungkin ramai yang menganggap bahawa haiwan tidak memiliki perasaan atau emosi seperti manusia, namun hakikat sebenarnya adalah haiwan, terutamanya haiwan peliharaan, juga memiliki perasaan walaupun tidak diberikan akal fikiran.

Dalam satu perkongsian video yang menjadi viral di TikTok baru-baru ini, banyak yang tersentuh melihat bagaimana seekor kucing meletakkan kepala di bahu tuannya seolah-olah meluahkan rindu selepas berpisah untuk tempoh yang lama.

Menurut pemilik video, @adirafarina, dia tidak berjumpa dengan kucing peliharaannya yang bernama Oreo selama tiga bulan kerana dia pindah rumah. Haiwan tersebut dijaga oleh individu yang dikenali oleh pemiliknya sepanjang tempoh tersebut.

3 bulan tak jumpa, kucing tak mahu berpisah dari pelukan tuannya

Apabila pemilik kembali ke rumah sewa lamanya untuk bertemu Oreo, dia tidak menyangka bahawa haiwan tersebut masih menunjukkan reaksi kasih sayang dan mengenalinya walaupun telah lama tidak bersama.

Menurut kajian dari University of Tokyo, Jepun, kucing mampu mengenali tuannya walaupun tanpa menggunakan penglihatan. Kucing dapat mengecam tuannya melalui aktiviti yang sering dilakukan.

Jadi, bagaimana kucing mampu mengecam atau mengenali pemiliknya?

1)Suara

Kucing dikatakan mampu membezakan suara pemiliknya daripada suara orang asing.

Dalam kajian Universiti Kyoto, seekor kucing domestik diletakkan dalam sebuah bilik yang dilengkapi pembesar suara bluetooth, dan pembesar suara lain diletakkan di luar bilik.

Kucing itu terkejut apabila mendengar suara pemiliknya dari luar bilik, menunjukkan kebolehan kucing dalam mengenali suara pemiliknya.

2)Deria Bau

Selain bunyi, kucing juga mempunyai deria bau yang tajam, yang digunakan untuk mengumpulkan maklumat, termasuk maklumat tentang manusia.

Kucing mungkin mengenali bau pemiliknya dan merasa selesa dengannya.

3)Rutin

Kucing sangat mahir dalam mengecam rutin orang di sekelilingnya.

Kucing peliharaan terutamanya mengetahui siapa yang memberi mereka makan dan waktu pemberian makanan.

Keupayaan ini mungkin menjadi faktor kucing menganggap anda sebagai pemiliknya selain dari pengenalan bau dan suara.

Perkara yang paling menarik adalah kucing mampu mengingati orang yang mereka kenali, termasuk pemiliknya, walaupun selepas bertahun-tahun.

Ini menunjukkan bahawa walaupun tidak mempunyai akal fikiran, kucing memiliki emosi seperti manusia.

Baca Juga : Tak payah susah rebut dendeng KhairulAming, ini resipi orang tua dulu buat dendeng sedap