4 cara hafal al-Quran yang boleh diamalkan oleh guru dan murid.
Menghafal al-Quran bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kesungguhan dan motivasi tinggi serta sikap yang positif seseorang penghafaz.
Walaupun begitu, ia bukan perkara yang mustahil sekiranya guru dan pelajar serta komuniti mengamalkan tip-tip tertentu dalam usaha mereka untuk menghafal kitab suci al-Quran tersebut.
Individu yang dikenali sebagai Bazli Zakaria MBZ menerusi laman Twitter miliknya, telah membuat perkongsian tip menghafal al-Quran yang boleh diikuti guru, pelajar dan masyarakat yang beragama Islam.
*4 tips berikut, adalah :*
1) Selepas Asar: Baca (tengok) betulkan tajwid
2) Selepas Maghrib: Mula hafal dan fokus
3) Selepas Subuh: Ulang hafalan semalam, baca kembali depan kawan dan jangan salah.
4) Selepas Isyak: Ulang (murajaah) hafalan semalam sehingga lancar.
Beliau juga turut memberi beberapa pesanan dan peringatan untuk memastikan proses menghafal al-Quran berjalan lancer.
*Antara peringatannya adalah:*
1) Tinggalkan maksiat (seperti menonton video melalaikan, bacaan lagha, gelak sakan dan sebagainya) agar mudah menghafal.
2) Digalakkan guna al-Quran yang bersaiz besar
Bila kita menghafal, pandangan kepada mushaf akan lebih jelas dan luas. Al-Quran kecil sesuai digunakan ketika murajaah sahaja. Tidak digalakkan guna untuk menghafal kerana dikhuatiri huruf tidak jelas disebabkan tulisannya yang kecil.
3) Ketika menghafal lontarkan suara dengan kuat (bukan menjerit). Ini kerana, bila menghafal dengan mengeluarkan suara yang kuat, secara tidak langsung kita menggunakan dua kemahiran iaitu membaca dan mendengar.
4) Jangan ‘berani-berani’ mahu menghafal berseorangan tanpa ada yang ‘menilai’ (menyemak) bacaan kita sekalipun kita seorang Quraa’ yang hebat!
5) Selepas hafaz, pastikan hafazan kita itu disemak oleh mereka yang pakar.
6) Hafazlah dengan bacaan yang paling baik kerana kebiasaannya hafalan yang pertama ini akan menjadi ‘bacaan kekal’ kita.
7) Pastikan niat hafal al-Quran kita betul!
8) Jangan berani mahu menghafal ‘ayat baru’ selagi kita tidak betul-betul mengingati ayat sebelumnya!
9) Telefon bimbit jangan letak tepi. Letak jauh-jauh.
10) Sudah seronok hafal, jangan lupa untuk mengamalkan apa yang ada dalam al-Quran. Berakhlak dengan akhlak al-Quran, setiap tutur kata dijaga dan gurauan tidak berlebihan kerana lidah dan mulut kita ‘mempunyai kesan’ dari ayat-ayat al-Quran. Peliharalah lidah kita agar mudah untuk melantunkan kembali ayat-ayat dalam kitab suci tersebut.
Semoga ALLAH permudahkan urusan kita semua.
BACA JUGA :