5 lokasi kolam air panas menarik untuk dikunjungi di Perak. Sekali-sekala pergi ke kolam air panas memang layan. Sambil merendam kaki dapat juga menikati keindahan alam.
Kebiasaannya koma air panas juga mampu memberikan dan merawat kulit kaki. Buat anda yang berada di Perak, ini LIBUR kongsika beberapa lokasi kolam air panas yang boleh anda kunjungi.
Felda Residence Hot Springs, Sg. Klah, Sungkai
Lokasi yang terletak di Sungkai ini turut dikenali dengan nama Taman Rekreasi Air Sg. Klah. Dek kerana kawasan ini adalah dibawah Felda Residence Hot Springs, ianya dikelilingi oleh pokok kelapa sawit dan pemandangan itu membuatkan lokasi ini nyaman kerana banyak tumbuh-tumbuhan semula jadi yang menghijau hidup di situ. Kalau anda hanya ingin mandi air panas, anda boleh berbuat sedemikian dan usah khuatir kerana di sini juga ada kolam biasa untuk anda yang datang saja-saja nak main air selain air panas.
Boleh pilih antara dua – sama ada nak mandi di kolam terbuka atau mandi kolam privasi. Yang pasti, kena datang awal sebab ramai orang yang berkunjung ke sini terutamanya pada hujung minggu atau cuti umum. lagi satu perkara, anda tidak dibenarkan membawa makanan dari luar. Jangan risau tentang makanan kerana di sini ada peniaga yang menjual makanan kepada anda. Untuk anda yang nak bermalam di sini, penginapan di Felda Residence menyediakan pelbagai pilihan untuk anda dan boleh ke laman sesawang Felda Residence untuk membuat tempahan.
Bayaran masuk:
Dewasa (12-54 tahun)
Tempatan – RM15
Antarabangsa – RM18
Kanak-kanak (4-11 tahun)
Tempatan – RM12
Antarabangsa – RM15
Kolam air panas privasi berharga dari RM80 ke RM120 untuk ruang berhawa dingin dan boleh memuatkan 4-6 oang dewasa dengan selesa.
TRIVIA
Penyelidikan oleh New England Medicine menunjukkan pesakit diabetes yang berendam selama setengah jam di dalam air suam boleh menurunkan 13% kadar gula dalam darah
Kolam Air Panas Lubuk Timah, Simpang Pulai
Orang Perak mesti dah biasa dengan tempat ni, tapi kalau anda yang datang dari luar Perak, ini spot air panas yang perlu anda kunjungi sekiranya ingin merasai kelainan kolam air panas berbanding tempat-tempat lain. Anda boleh berkunjung ke sini pada bila-bila masa sahaja tapi cadangan kepada anda adalah diluar musim hujan.
Keadaan hujan boleh membuatkan persekitaran di sini menjadi licin dan membawa risiko kecederaan kepada pengunjung terutamanya kepada kanak-kanak. Maknanya dari bulan November hingga Februari adalah masa yang kurang sesuai untuk ke sini. Selain daripada itu adalah masa yang terbaik.
TRIVIA
Rendamkan badan selama 10 hingga 20 minit di dalam air bersama yang mengandungi campuran larutan soda bikarbonat (serbuk penaik) mampu mengatasi ruam atau jangkitan kulit
Air Panas Pengkalan Hulu, Pengkalan Hulu
Chalet Air Panas Pengkalan Hulu ni juga satu persinggahan yang menarik kalau anda merancang untuk bercuti ke Thailand anda nak ke Royal Belum, Perak. Singgah la ke sini bersama keluarga untuk menikmati kolam air panas.
Banyak review daripada orang awam yang mengatakan tempat ini menarik untuk dilawati dan terdapta kemudahan untuk anda menginap di sini barang semalam dua. Cas masuk juga berpatutan, hanya RM2 seorang. Jadi pada sesiapa yang nak ke Thailand melalui Stesen Imigresen Bukit Berapit, boleh singgah dulu ke sini ya.
TRIVIA
Kajian pakar perubatan di Jepun telah mendapati air panas semula jadi juga amat baik untuk merawat penyakit dalaman seperti lenguh-lenguh badan, sakit jantung, darah tinggi, lumpuh, kencing manis dan barah
Kolam Air Panas Kuala Woh, Tapah
Hutan Lipur Kuala Woh yang terletak di daerah Tapah, Perak bukanlah lokasi pelancongan yang baharu. Namun masih ramai yang belum tahu mengenai keindahan alamnya.
Keunikan lokasi ini adalah pengunjung boleh mandi-mandi di kawasan jeram air terjun. Dalam masa yang sama dapat menikmati kolam air panas di situ.
Kemudahan yang disediakan sangat membantu pengunjung yang datang. Kemudahan asas seperti pondok rehat, tandas, bilik persalinan, tapak perkhemahan, dewan terbuka dan chalet memudahkan orang ramai yang datang bersama ahli keluarga atau berkumpulan.
Suasananya yang tenang dengan bunyi kicauan burung membuatkan hati tidak sabar untuk menjelajah ke kawasan tersebut.
Kawasan sekitarnya bersih dan terjaga, tiada sampah di buang di merata-rata tempat dan pengunjung yang datang juga masing-masing faham mengenai aspek penjagaan kebersihan.
Waktu operasi:
7 pagi – 6 petang
Bayaran masuk:
Dewasa (18 tahun ke atas) – RM2
Warga Emas (60 tahun ke atas) – RM1
Kanak-kanak (18 tahun ke bawah) – RM1
kanak-kanak (3 tahun ke bawah) – Percuma
Warga Asing – RM5
TRIVIA
Berendam pada kolam air panas dipercaya mampu untuk mengurangkan stress
Kolam Air Panas Trong, Taiping
Kolam air panas ini terkenal sebagai kolam air panas untuk perubatan. Ada beberapa pilihan untuk anda menikmati air panas di kolam ini – ada kolam Puteh, kolam Jepun, bilik mandi tertutup bilik VIP dan kolam khas yang boleh memuatkan 10 pengunjung dalam satu-satu masa.
Setiap pengunjung hanya dikenakan bayaran sebanyak RM2 sahaja tetapi sekiranya anda ingin upgrade menggunakan kemudahan-kemudahan lain seperti kolam VIP atau kolam khas yang disediakan, bayaran bermula daripada RM10 ke atas akan dikenakan kepada anda. Kepada anda yang ingin ke sini dan membuat tempahan, boleh hubungi 05-8553990.
Waktu operasi:
8 pagi – 12 tengah malam termasuk hari cuti (kecuali cuti raya)
BACA:
Industri sawit negara kerugian RM28 bilion, ini puncanya…