6 hari tersorok dalam semak dan rumput tinggi, akibat minum dan memandu

6 hari tersorok dalam semak dan rumput tinggi, akibat minum dan memandu. Seorang lelaki di Thailand berjaya diselamatkan selepas dijumpai terbaring di tepi jalan selepas enam hari kerana mengalami kecederaan akibat kemalangan motosikal.

Mangsa, Withawat Nanthapetch, 22 tahun, dilaporkan hilang pada 29 Disember tahun lalu selepas keluar minum bersama rakan-rakannya di sebuah bar.

Namun, kehilangannya menjadi misteri selepas dia difahamkan tidak pulang ke rumah selepas perjumpaan bersama rakan-rakannya itu walaupun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dirinya keluar dari bangunan sekitar jam 1 pagi.

Disebabkan kehilangannya itu, keluarga lelaki berkenaan memulakan pencarian selama empat hari berturut-turut tetapi keberadaannya masih lagi menjadi misteri.

Bukan itu saja, rakan-rakan mangsa turut membuat hantaran di media sosial untuk memaklumkan kepada orang ramai berkenaan dengan kehilangan lelaki tersebut.

Selepas tidak dapat mengesan sebarang jejak, keluarga serta rakan-rakannya mendakwa bahawa lelaki tersebut telah pun meninggal dunia tetapi ingin mencari tubuh untuk mengadakan upacara pengebumian.

Pada hari keenam kehilangan lelaki itu, pak cik saudara terjumpa motosikal milik anak buahnya yang terletak di tepi jalan sekitar Jalan Udon-Nong Bua Lamphu Road, berhampiran dengan Lapangan Terbang Udon Thani.

Ternyata, susuk tubuh lelaki itu tersorok di bahagian semak dan rumput tinggi menyebabkan dia sukar untuk dikesan sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

Lebih menyedihkan, ibu mangsa meraung dan menangis apabila dapat berjumpa semula dengan anaknya. Dia turut meluahkan rasa syukur dan gembira kerana anaknya masih lagi hidup.

BACA JUGA: Kejam! Suami paksa ular berbisa patuk isteri kurang upaya