700 veteran Angkatan Tentera Malaysia dianugerah Pingat Jasa Malaysia.
Seramai 700 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai pengiktirafan atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan negara daripada ancaman pengganas komunis.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan malam ini memaklumkan, penganugerahan yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz, di Dewan Perwira, Wisma Pertahanan ATM itu dilaksanakan sejak 2004.
“PJM hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti berkhidmat atau terbabit dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau bertugas secara langsung tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM).
“Antara syarat lain, veteran berkenaan berkhidmat atau terbabit dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau bertugas secara tidak langsung tidak kurang dari enam bulan di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU),” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, syarat lain ialah veteran itu terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan tugas menentang pengganas PKM bagi tempoh 1 Januari1969 hingga 2 Disember 1989 atau pengganas PKKU bagi tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990.
Majlis hari ini adalah penganugerahan pertama yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Ia selepas Menteri Pertahanan bersetuju mewakilkan kuasa melalui Panglima Angkatan Tentera dan Ketua-Ketua Perkhidmatan ATM untuk menyempurnakan pemakaian PJM melalui Mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan bertarikh 29 September 2022.
Turut hadir Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.
Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Muhamad Norazlan Aris; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus; serta wakil Persatuan Veteran ATM sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.
Sehingga hari ini, seramai 33,632 warga Veteran ATM menerima PJM manakala bagi veteran yang layak dan belum mendapat anugerah itu dijadual menerimanya pada masa akan datang.
BACA JUGA:
Anwar berada di Ibu Pejabat UMNO selepas dipecat 25 tahun lalu
Jumlah korban gempa bumi Turkiye, Syria meningkat lebih 7,200 orang