Laporan tentera Ukraine menyatakan bahawa rakyat Malaysia dikatakan merupakan askar upahan yang turut serta dalam konflik bersama tentera Rusia di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
Tentera Rusia dan sekutunya menguasai sebahagian besar Donetsk sejak tahun 2014, setelah berlakunya protes demokrasi yang besar-besaran di negara itu yang kemudiannya membawa kepada konflik perang saudara.
Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine dalam satu notis ringkas menyatakan, “Rusia terus merekrut askar upahan dari pelbagai negara di seluruh dunia untuk melaksanakan dasar keganasan mereka.”
Mereka turut melaporkan bahawa askar upahan dari Malaysia, yang ditemani oleh seorang penterjemah dan bekas anggota kumpulan Wagner, telah dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai oleh Rusia.
Pejuang-pejuang tersebut sedang menjalani latihan, dan Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan memberikan amaran bahawa sesiapa yang bersekutu dengan Rusia menentang Ukraine akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan.
Kumpulan pejuang dari negara-negara seperti Cuba, Nepal, Belarus, dan Serbia sering dianggap sebagai “anggota angkatan bersenjata Rusia.”
Menurut laman sesawang Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, kumpulan ini ditubuhkan oleh Pasukan Operasi Khas Ukraine dengan tujuan untuk melatih, mengkordinasikan, dan merancang gerakan menentang penjajahan di negara tersebut.
Kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan tentera Rusia, seperti kumpulan Wagner, dilaporkan aktif di Ukraine dan dituduh terlibat dalam pelbagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Baca Juga : Kereta selisih semua ‘high beam’ rupanya ada safari kat depan