Adab Menuntut Ilmu berdasarkan Hadis

Adab Menuntut Ilmu berdasarkan Hadis.

Keindahan Islam itu lebih menyerlah dengan adab. Dengan menjaga adab, akhlak yang mulia dapat dibina dalam diri setiap individu Muslim.

Penjagaan adab ini meliputi pelbagai sudut, iaitu adab dengan Allah SWT, adab dengan Nabi SAW, adab dengan ibu bapa, adab dengan guru, adab dengan jiran, adab dengan rakan, adab dengan masyarakat hatta adab dengan semua makhluk Allah secara umum.

Dalam proses menuntut ilmu, adab dengan guru perkara paling penting yang perlu diberi perhatian. Kehilangan adab akan menyebabkan hilangnya keberkatan ilmu yang dituntut.

Oleh itu, sejak dari awal adab perlu diterapkan dalam jiwa anak agar mereka tidak kehilangannya pada kemudian hari.

Dalam mempelajari hadis misalnya, ulama menggariskan pelbagai adab yang perlu dititikberatkan oleh penuntut ilmu.

Senarai adab ini direkodkan dalam kebanyakan kitab ‘ulum al-hadith. Malah, sebahagian ulama mengarang kitab khusus mengenainya.

Antara mereka ialah al-Khatib al-Baghdadi (wafat 463H) yang menyusun kitab al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’ dan Imam as-Sam’ani (wafat 562H) yang menyusun kitab Adab al-Imla’ wa al-Istimla’ yang kedua-duanya memberi fokus bagaimana seharusnya akhlak seorang perawi, adab mendengar hadis dan adab meriwayatkannya.

Antara adab yang perlu diaplikasikan oleh setiap penuntut ilmu ialah mengikhlaskan niat semata-mata kerana Allah SWT. Hanya amalan yang ikhlas akan diterima oleh-Nya. Oleh itu, janganlah menuntut ilmu dengan tujuan mendapatkan habuan atau keuntungan dunia yang sementara.

Terdapat ancaman dalam sebuah hadis Nabi SAW sabdanya: “Sesiapa yang menuntut suatu ilmu daripada perkara yang diharapkan dengannya mendapat reda Allah, namun dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan satu habuan dunia, nescaya dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada Hari Kiamat kelak.” *Hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibn Majah dan al-Hakim dengan sanad sahih*

Seorang penuntut ilmu perlu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan tidak mensia-siakan masanya dengan perkara yang tak berfaedah. Dia perlu menjauhi sifat malu tidak bertempat seperti malu untuk bertanya yang mengakibatkan dirinya akan terhalang daripada memperolehi manfaat ilmu.

Dalam menuntut ilmu, seorang penuntut perlu bersifat sabar dan tidak mudah berputus asa kerana tabiat ilmu memang perlu dipelajari secara berperingkat. Dalam semua bidang ilmu, pasti ada peringkat asas, peringkat pertengahan dan peringkat tinggi. Demikian juga dalam bidang hadis, perlu bermula dengan asas ilmu hadis, hadis empat puluh dan hadis hukum sebelum memberi penumpuan terhadap kitab hadis yang lebih besar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi, Sunan an-Nasa’i atau lainnya.

Penuntut ilmu perlu menghormati dan memuliakan guru atau orang yang menyampaikan ilmu kepadanya. Amalan ini termasuk antara cara memuliakan ilmu. Beradab dengan guru memerlukan penuntut ilmu perlu mengetahui perkara yang menyenangkan hati guru dan yang boleh menyebabkan rasa tidak senang hatinya atau menyukarkan dirinya seperti tidak cakna dengan waktu yang sesuai untuk menziarahi guru sehingga mengganggu masa istirahat atau waktu ibadahnya.

Justeru, penuntut ilmu perlu memastikan tindakannya sentiasa disenangi oleh guru dan menjauhi segala perlakuan yang boleh mengundang rasa marahnya.

Penuntut ilmu juga perlu mengulang kaji apa yang dipelajari atau dihafal. Proses muzakarah (study group) iaitu berbincang dengan rakan tentang sesuatu pembelajaran juga sangat digalakkan. Ini kerana muzakarah antara kaedah terbaik untuk mengingati semula apa yang dipelajari. Kerjasama sedemikian cukup membantu dalam proses menuntut ilmu dan mengamalkannya.

Antara kaedah terbaik untuk mengingati dan menghayati ilmu juga ialah beramal dengan ilmu yang baru didengar dan dipelajari. Kata Imam Waki’ (wafat 197H): “Jika kamu ingin menghafaz hadis, maka amalkanlah ia.”

Selain itu, penuntut ilmu perlu bersifat merendah diri dan menjauhi sifat sombong serta takabur seperti berasa diri lebih hebat daripada orang lain. Apatah lagi berasa lebih tinggi daripada gurunya sendiri sedangkan dia hanya baru mengetahui sekelumit daripada lautan ilmu yang cukup luas.

Secara ringkas, seorang penuntut ilmu perlu berakhlak dengan akhlak mulia yang dianjurkan oleh Nabi SAW. Demikianlah antara adab penuntut ilmu hadis yang digariskan dalam disiplin ‘ulum al-hadith yang secara tidak langsung turut sesuai untuk diaplikasikan oleh semua penuntut ilmu secara umum. Dengan menerapkan adab ini, akan mengukuhkan dan memantapkan diri seseorang penuntut ilmu bertepatan dengan tuntutan syarak serta falsafah pendidikan Islam secara amnya.

BACA JUGA :

Kesan memeluk anak lelaki dengan lebih kerap dapat mengawal sikap Agresif, IQ lebih baik

3 kesan negatif jika perlekeh dan ketawakan kesilapan anak

Dah daftar untuk Affiliate Tiktok belum? Ni cara mudah untuk daftar