Datuk Yusry Abdul Halim, selaku pengarah drama bersiri adaptasi Korea Selatan, W: Two Worlds, mengucapkan terima kasih kepada penonton yang memberikan teguran berkaitan babak ciuman berlapik yang menjadi kontroversi baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, beliau enggan memberikan ulasan lanjut apakah babak tersebut dilakukan menggunakan teknik kamera, namun menegaskan bahawa pihaknya mengambil kira setiap respons yang diberikan oleh penonton.
“Saya berterima kasih atas teguran yang diberikan oleh penonton dan akan lebih berhati-hati di masa akan datang.
Sebenarnya saya ada banyak benda nak cakap. Tetapi kami menghormati permintaan Viu untuk tidak mengulas lanjut tentang perkara ini,”
jelas Yusry semasa ditemui di majlis ‘viewing party’ drama W: Two Worlds di sebuah hotel.
Pengarah ini mengakui bahawa mereka memberikan kelainan dalam pengolahan karya adaptasi ini dengan merombak jalan cerita untuk episod enam ke atas, memberikan sentuhan segar kepada plot berbanding naskhah asal.
Yusry menjelaskan pendekatan ini dengan berkata, “Jika kita tiru sebiji-sebiji dari yang asal, nanti orang akan cakap baik tengok versi asal. Jadi kami buat perubahan agar peminat dapat tengok perbezaan yang diolah untuk versi Malaysia.”
Bagi Daiyan Trisha, pelakon watak Izara dalam drama tersebut, beliau mendedahkan penerimaan yang sangat baik daripada rakan-rakan industri mengenai penampilannya dalam drama tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan keutamaannya adalah memastikan pengarah dan produksi gembira dengan hasil kerjanya, dan mendengar maklum balas dari rakan pelakon dan orang dalam industri.
Episod terakhir drama W: Two Worlds yang terdiri daripada 12 episod baru sahaja ditayangkan di platform Viu hari ini, dan turut melibatkan Mierul Aiman, Tony Eusoff, Faizal Hussein, dan Elizabeth Tan.
Baca Juga : Ibu Bapa culas bayar yuran, lelaki dedah yuran tertunggak PASTI cecah RM15,000