Adik Norman, Lily dan Izz benar-benar bawa nama negara ke antarabangsa.
Membintangi pementasan teater muzikal antarabangsa terbitan produksi New York, The Sound Of Music bukanlah mudah, tetapi tidak menjadi halangan buat tiga bintang cilik membawa peranan utama.
Norman Ong Wen Zhe, 9, Nur Lily Armani Saiful Bahtiar, 8, dan Izz Quedy, 13, antara bakat cilik bertuah apabila dipilih daripada lebih 400 peserta yang hadir uji bakat membintangi teater muzikal The Sound Of Music arahan Jack O’Brien yang kini sedang dipentaskan di Istana Budaya sejak 27 Disember lalu.
Seramai 17 bakat cilik dipilih pasukan kreatif Broadway yang terdiri daripada penggiat seni teater antarabangsa, Anthony C Daniel, James Gray dan Nate Patten.
Berkongsi pengalaman ketika sesi uji bakat, Norman membawa watak Kurt mengakui gementar ketika menantikan keputusan.
“Perasaan jadi gundah gulana setiap kali nama pelakon diumumkan. Apa tidaknya, lebih 400 pelakon menyertai uji bakat, produksi hanya memilih 17 orang bagi membawakan watak enam kanak-kanak dalam teater muzikal ini.
“Namun, saya lega apabila dipilih. Ini adalah pengalaman pertama saya menyertai sesi uji bakat untuk teater muzikal antarabangsa,” KATANYA.
Bakat cilik kelahiran Klang, Selangor itu berkata, dia tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, namun berbangga beroleh pengalaman bekerja dengan produksi antarabangsa.
“Ibu bapa menjadi penyokong utama. Bukan sahaja beri galakan, malah gigih melatih saya menghayati watak Kurt.
“Bagaimanapun, teater The Sound Of Music bukanlah asing buat saya kerana pernah menonton versi filem. Lagu paling digemari ialah Do Re Mi,” katanya.
Bintang comel, Nur Lilly Armani membawakan watak Gretl, berkata dia malu dan terkejut apabila namanya dipilih sebagai pelakon utama.
Sama seperti Norman, Nur Lilly tidak mempunyai pengalaman berlakon, tetapi mencuba nasib uji bakat untuk mencabar diri.
Sebagai persediaan, Lilly berkata, dia terlebih dahulu menonton filem sebelum sesi uji bakat.
“Saya menonton filem dua minggu sebelum uji bakat. Secara jujurnya, saya jatuh cinta menonton filem ini.
“Babak paling digemari ketika majlis perkahwinan di kawasan pergunungan.
“Saya sukakan watak Gretl kerana sangat comel dan mungkin ada persamaan dengan saya. Cuma, saya agak takut, lebih lagi selepas dipilih sebagai pelakon,” ujarnya.
Nur Lilly berkata, orang ramai perlu menonton teater muzikal The Sound Of Music Brien kerana ia adalah kisah sedih apabila Kapten Von Trapp bersama enam anaknya terpaksa meninggalkan kediaman, selain koleksi lagu menyentuh hati.
“Banyak ilmu mengenai muzik dan kini, boleh mendendangkan lagu nada tinggi dengan penuh yakin,” katanya.
Izz Quedy membawakan watak Friedrich berkata, sudah menjadi impiannya beraksi dalam teater muzikal Broadway itu.
Namun, katanya, sesi uji bakat adalah momen yang cukup memberikan tekanan.
Ini kerana, Izz berkata, dia tertekan ketika proses penyingkiran, namun tidak menyangka dipilih sebagai pelakon.
“Saya sentiasa menjaga suara kerana tidak mahu tersingkir. Paling terkejut melihat nama terpampang dalam media.
“Jujurnya, saya seronok dapat menjadi sebahagian pasukan pementasan teater ini. Selain mendapat kawan baharu, saya berharap membuka jalan untuk saya aktif dalam pementasan muzikal pada masa akan datang,” katanya yang juga ahli Geniur Seni Koir.
The Sound Of Music, teater adaptasi filem muzikal terkenal pada 1965 mengisahkan Maria, pengasuh penyayang dan berjaya mengubah kehidupan Kapten Von Trapp dan anak-anaknya dengan memperkenalkan muzik ketika dalam penerbangan melintasi pergunungan Austria.
Menjadi antara teater muzikal paling digemari di dunia, The Sound Of Music dihasilkan oleh produksi Broadway pada 1959 meraih pelbagai kemenangan, iaitu lima Tony Awards termasuk menggondol trofi Muzikal Terbaik.
Sementara itu, versi filem dibintangi bintang veteran, Julie Andrews sebagai Maria memenangi lima Anugerah Oscar, termasuk Filem Terbaik dan menjadi antara filem popular sepanjang zaman dan mencatat kutipan tertinggi ketika itu.
BACA JUGA:
Tun Juhar menyambung khidtmatnya sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah
Dr Dzulkefly tidak terkilan tiada dalam saf kepimpinan negara, memahami keputusan PMX
Siapakah Azazil itu? Adakah dari golongan malaikat ataupun jin?