Manusia memang tidak dapat mengelak dari terlupa, termasuk ketika sedang menjalankan solat. Ada kalanya kita terlupa bilangan rakaat yang telah dikerjakan, mencetuskan rasa ragu-ragu untuk melaksanakan langkah seterusnya.
Penting untuk diingat bahawa semasa menjalankan solat, kita terdedah kepada gangguan syaitan yang cuba mengacaukan kekhusyukan ibadah kita.
Bagaimanapun, apabila kita sedar bahawa terlupa bilangan rakaat dalam solat yang sedang dijalankan, adakah perlu bangun dan menambah bilangan rakaat yang kurang, kemudian sujud sahwi dan memberi salam, atau sepatutnya memulakan semula solat dari awal?
Persoalan ini dijelaskan dengan terperinci dalam jawapan yang diterbitkan di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Menurut jawapan tersebut, dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dan lain-lain riwayat, Rasulullah SAW menjalankan solat fardu Zohor (dalam satu riwayat lain dikatakan solat fardu Asar) sebanyak dua rakaat, lalu Baginda SAW bangkit menuju ke pintu dengan wajah serius.
Ketika itu, seorang sahabat yang dipanggil Dzul Yadain bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘adakah solat telah dipendekkan (oleh syarak) atau engkau telah lupa?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘solat tidak dipendekkan dan aku tidak pula lupa’. Baginda SAW kemudian bertanya kepada para sahabat yang lain, ‘apakah benar yang dikatakan Dzul Yadain itu?’, dan mereka mengesahkan.
Baginda SAW kemudian bangkit dan menyempurnakan baki solat dua rakaat lagi beserta sujud sahwi (Hadis riwayat Imam Muslim (573) dalam Sahihnya). Hadis ini jelas mengajar tatacara melengkapkan solat fardu yang tidak sempurna bilangan rakaatnya kerana lupa atau sebab lainnya.
Dengan itu, jika selepas salam yang tersilap tidak diikuti dengan percakapan dan pergerakan yang banyak, kita boleh melengkapkan bilangan rakaat yang belum sempurna. Namun, jika sudah berlalu waktu yang lama berserta pergerakan yang banyak seperti mandi, makan minum, maka perlu ditunaikan semula solat dari awal. Wallahualam.
Baca Juga : Kapal terbang terhempas duit RM5.69 juta lesap