Akaun Instagram milik Safawi Rasid kini ‘diserang’ penyokong bola sepak Indonesia yang tidak berpuas hati apabila pemain kacukan mereka, Elkan Baggott diarahkan untuk dikuarantin selama lima hari oleh pihak berkuasa kesihatan Singapura, hari ini.
Ia selepas pemain Ipswich Town itu dipercayai oleh kerajaan Singapura menaiki pesawat yang sama dari London ke Kota Singa dengan salah seorang penumpang yang mendapat keputusan positif Covid-19 varian baharu iaitu Omicron.
Lantas, tindakan pihak berkuasa tempatan itu menimbulkan kemarahan penyokong Indonesia yang menuduh skuad Harimau Malaya mendapat layanan ‘istimewa’, di mana Safawi Rasid yang duduk sebilik dengan Akhyar Rashid dibenarkan beraksi.
Contoh yang diberikan media Indonesia itu nyata menaikkan api kemarahan penyokong tegar skuad Garuda yang kemudiannya menyerang Instagram pemain sayap kebangsaan itu yang dikatakan kontak rapat kepada Akhyar.
Malah media Indonesia turut menyatakan, keputusan ujian calitkan Elkan Baggott dikatakan negatif selepas tiga kali dilakukan yang menaikkan lagi api kemarahan penyokong mereka.
Dengan pengasingan itu, ini bermakna pemain tinggi lampai itu tidak akan beraksi menentang Vietnam malam ini dan hanya kemungkinan diturunkan berdepan Malaysia di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.
Menerusi tinjauan Arena Metro di laman sosial, ramai penyokong Indonesia mahu Safawi turut diasingkan selepas Akhyar didapati positif Covid-19, Khamis lalu.
Apapun, diharapkan Safawi kekal fokus dan tidak mengendahkan sebarang bentuk ‘serangan’ penyokong Indonesia terutamanya di laman sosial.
Skuad negara bakal berdepan misi wajib menang ke atas ‘musuh’ tradisi itu bagi meraih tiket ke separuh akhir Piala AFF kali ini.