Akhirnya Menteri, KKM selesai isu jawatan tetap bidang kesihatan

Akhirnya Menteri, KKM selesai isu jawatan tetap bidang kesihatan. Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 4,914 kekosongan jawatan tetap akan ditawarkan tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata ia terdiri daripada 4,263 jawatan bagi Pegawai Perubatan, 355 (Pegawai Pergigian) dan 316 (Pegawai Farmasi).

“Iklan akan dibuka mulai 6 Januari (hari ini) hingga 21 Januari ini.

“Sehubungan itu saya berharap calon yang layak dapat mengisi permohonan dan mengemukakan segera maklumat yang lengkap dan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, Ketua Setiausaha, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Selain itu Dr Zaliha berkata, klinik kesihatan di seluruh negara disaran beroperasi secara lebih masa dalam usaha mengelak kesesakan di hospital.

Beliau mencadangkan supaya Pengarah Kesihatan Negeri meneliti semula keperluan klinik kesihatan di bawah seliaan masing-masing untuk beroperasi lebih masa.

Katanya, langkah itu boleh mengalihkan pelanggan atau pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik tersebut dan bukan lagi di Jabatan Kecemasan Hospital (ED).

“Secara umumnya, pesakit berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat menyelesaikan isu kesesakan dan tempoh menunggu lama untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik KKM.

“Isu kesesakan ini dikesan berlaku di kawasan bandar berikutan jumlah populasi yang semakin meningkat, serta kecenderungan pelanggan mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik KKM,” katanya.

Dr Zaliha berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019, menjelaskan tempoh menunggu di Jabatan Kecemasan Hospital melebihi daripada enam jam.

Malah, katanya, keadaan itu berlaku disebabkan 70 peratus kes yang diterima adalah kes bukan kritikal) dan ia sekali gus bertentangan dengan fungsi sebenar Jabatan Kecemasan Hospital yang sepatutnya hanya menerima kes-kes kritikal.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pengarah Hospital pula hendaklah memastikan pembukaan perkhidmatan baharu segera dilaksanakan sebaik sahaja jawatan atau sumber manusia diluluskan.

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan di hospital menjadi lebih efektif, Pengarah Kesihatan Negeri disarankan untuk membuat penjajaran perjawatan dan sumber manusia.

“Ia boleh dilakukan dengan pusingan kerja, contohnya dengan menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital.

“Langkah ini dapat mengurangkan isu tempoh bekerja yang terlalu lama bagi satu-satu masa untuk seseorang pegawai dan secara tidak langsung dapat mengelakkan atau mengurangkan kejadian burn-out (kepenatan),” katanya.

BACA JUGA:

Tidak ada sokongan ADUN PH untuk bentuk ‘Kerajaan Pintu Belakang’

Pegawai Jakim disiasat susulan video ceramah tular

Rogol remaja perempuan 16 tahun, seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah