Gara-gara berjauh hati dengan perangai anak-anak, seorang warga emas memutuskan untuk mengubah wasiat hartanya yang bernilai 20 juta yuan atau lebih RM13 juta kepada haiwan-haiwan peliharaannya.
Memetik laporan South China Morning Post, anak-anaknya tidak pernah menjenguknya ketika sakit membuatkan dia nekad mengajar mereka dengan cara begitu
Difahamkan, warga emas dari Shanghai yang dikenali sebagai Liu itu ada meletakkan nama anak-anaknya dalam wasiatnya pada tiga tahun lalu.
Namun, dia memutuskan untuk mengubah fikirannya itu kerana kecewa dengan tindakan anak-anaknya yang bukan sahaja tak datang melawatnya, malah mereka juga jarang menghubunginya.
Oleh kerana itu, wanita terbabit memutuskan mahu menyerahkan hartanya itu kepada kucing dan anjingnya yang setia menemaninya setiap hari.
Difahamkan, wanita itu akan menyerahkan wang itu kepada sebuah klinik haiwan yang akan bertanggungjawab menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaannya itu apabila dia tiada nanti.
Walau bagaimanapun, menurut pegawai di pejabat pendaftaran wasiat di Beijing, penyerahan harta kepada haiwan peliharaan adalah tidak sah di sisi undang-undang negara itu.
Namun, dalam masa yang sama ada alternatif kepada isu tersebut kerana pihak mereka akan menasihati wanita itu untuk melantik orang yang dipercayainya untuk menyelia klinik haiwan terbabit agar harta-harta itu memang digunakan untuk haiwan-haiwan peliharaannya.
Pihak yang sama juga ada memberitahu wanita warga emas itu bahawa dia boleh menukar semula wasiat itu jika sikap anak-anaknya berubah menjadi lebih baik.
Baca juga: “Dari kecik atok memang tak pernah suka kami datang, asal kami ada je dia cabut semua plug TV”