Al-Ma’unah, Al-Arqam dan insiden berdarah Memali

Pada 2 Julai 2000, satu kumpulan tidak dikenali – menggelarkan diri mereka Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah – mengejutkan negara apabila mereka melakukan serbuan berani ke kem Rejimen Askar Wataniah di Gerik, Perak.

Lebih dikenali sebagai Al-Ma’unah, kumpulan ini diketuai bekas tentera Mohamed Amin Mohamed Razali yang memiliki fahaman politik dan agama yang ekstrem.

Sekumpulan 20 anggota kumpulan ini menyamar sebagai askar yang membuat pemeriksaan dan melarikan senjata dan peluru dari kem tersebut. Mereka berpakaian lagak pegawai tentera kanan dan tiba di kem menaiki tiga Pajero.

Malah mereka yang juga dipercayai membuat surat palsu dengan kepala surat Kementerian Pertahanan.

Sejumlah besar senjata diambil, termasuk 97 senapang M16, dua senapang Steyr AUG, empat senapang GPMG, enam mesingan ringan, lima pelancar bom tangan, 182 kelopak peluru M16, lapan laras tambahan GPMG, tiga laras tambahan LMG, 26 benet, dan 9,095 peluru 5.56mm dan 60 untuk peluru 40mm.

Mereka kemudian bergerak 100km ke arah utara dan berkubu di sebuah kampung bernama Sauk, dekat Kuala Kangsar, dan mengeluarkan desakan agar perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad letak jawatan dalam masa 24 jam.

Jika tidak berbuat demikian, mereka berkata akan ke Kuala Lumpur dan melancarkan apa yang menurut mereka sebagai “jihad”.

Amin juga mengerahkan orang bawahannya untuk mengebom kilang Carlsberg di petaling Jaya dan kuil Hindu di Batu Caves. Bagaimanapun tiada kemusnahan besar daripada serangan itu.

Dia dikatakan cuba mencetuskan rampasan kuasa atau mencetuskan ketegangan kaum dan agama menerusi tindakannya.

Polis bertindak balas dengan mengepung kem Al-Ma’unah dan sekumpulan anggota ditugaskan untuk masuk ke dalamnya.

Tiga anggota ditangkap, iaitu Mohd Shah Ahmad and R Sanghadevan and askar, Matthew Medan. Orang awam, Jaafar Puteh, yang ketika itu mencari durian di kawasan itu turut dijadikan tebusan.

Mereka diseksa oleh anggota Al-Ma’unah. Matthew ditembak mati.

Selepas tiga hari pengepungan, tembak menembak berlaku antara anggota keselamatan dan kumpulan ini. Apabila seorang anggota Al-Ma’unah terbunuh, Amin bertindak balas dengan membunuh Saghadevan.

Pengepungan berakhir pada 7 Julai apabila pasukan keselamatan, termasuk pasukan elit Grup Gerak Khas (GGK) ke-22 dan Pasukan Gerak Khas VAT 69 PDRM meyerbu kem tersebut dalam Operasi Subuh.

Menyedari keadaan semakin terdesak, Amin dan para pengikutnya akur dan menyerah diri. Ketika penyerahan diri, Amin hilang kawalan dan cuba menembak Komander Tentera Darat Zaini Mohamad Said dari jarak dekat.

Zaini menepis pistol Amin dan tindakan terkena orangnya sendiri, Abdul Halim Ali.

Amin dan pengikutnya kemudian dibicarakan, antaranya atas dakwaan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Dia dan dua orang kanannya, Zahit Muslim dan Jamaluddin Darus, dijatuhkan hukuman mati. Begitu juga dengan Jemari Jusoh yang membunuh Matthew.

15 lagi anggota dihukum penjara sepanjang hayat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Disember 2001, di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, 10 anggota lain yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan altenatif – berusaha melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong – dihukum pejara 10 tahun.

Amin menjalani hukuman gantung pada 4 Ogos 2006, seminggu selepas hukuman sama terhadap Zahit, Jamaluddin dan Jemari.

Terdapat dua pertembungan kumpulan berasaskan agama dengan pihak berkuasa sebelumnya, antaranya peristiwa Memali dan gerakan Al-Arqam.

Ketika insiden Memali di Baling, Kedah, pada 19 November 1985, berlaku pertembungan antara polis dan penyokong Allahyarham Ibrahim Mahmud – lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya – yang bertanding dua kali dalam pilihan raya menggunakan tiket PAS.

Sejumlah 200 anggota polis mengepung kira-kira 400 pengikut Ibrahim. Sejumlah pengikutnya kemudian menyerbu polis, mencetuskan pertembungan yang menyebabkan 14 kematian orang awam, termasuk Ibrahim dan empat anggota polis.

Pada 1994 pula, gerakan Al-Arqam difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Beberapa bulan kemudian, ia diharamkan oleh kerajaan persekutuan. Pemimpin kanan gerakan itu, termasuk ketuanya Ashaari Mohammad, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan ingin mewujudkan angkatan tentera.

Penafian : Gambar adalah sekadar ilustrasi sahaja

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541866