Amanah juga lancar jentera tumpu PRK Mahkota

Parti Amanah Negara (AMANAH) yang sebelum ini menuntut kerusi di Dun Mahkota telah melancarkan jentera bagi persediaan PRK di Dun tersebut.

Pengarah Jentera Amanah PRK Mahkota, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata pelancaran jentera ini bertujuan bagi membantu gerak kerja Kerajaan Perpaduan dalam meletakkan calon di PRK tersebut.

Zuhan ketika ditemui menyatakan bahawa Amanah terlalu serius dalam memastikan calon dari Kerajaan Perpaduan menang dalam PRK kali ini.

“Pelancaran jentera ini adalah untuk membantu secara serius bagi memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di Dun ini.

“Selain itu kita juga mahu kerjasama antara PH dan BN dibuat secara ikhlas dalam memenangkan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di program Pelancaran Jentera Amanah PRK Mahkota.

Ketika ditanya berkenaan dengan isu tuntutan kerusi yang mahu ditandingi oleh parti Amanah, Zuhan memaklumkan perkara itu telah diselesaikan.

“Selepas pertemuan kedua belah gabungan antara PH dan BN, segala tuntutan sudah tidak berbangkit lagi dan saya menghormati keputusan di peringkat pusat berkenaan dengan hal tersebut.

“Hasil dari perbincangan itulah yang membuatkan kami sebulat hati mahu membantu calon Kerajaan Perpaduan yang akan diwakili oleh BN dan isyarat ini jelas bahawa kita akan berkerja sepasukan.

“Apa yang utama ketika ini adalah memastikan Johor sebagai kubu kuat Kerajaan Perpaduan dan perlu direalisasikan di PRK Mahkota ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Majlis Pelancaran Jentera Amanah itu turut dihadiri oleh Presiden parti itu yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu serta wakil dari parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan yang lain.

Baca juga : Zahid mula tunjuk kuku besi pinggirkan PH