Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Aminolhuda Hassan dalam satu kenyataan menjangkakan calon dari Perikatan Nasional (PN) di PRK Mahkota bakal memainkan isu 3R.
Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, perkara itu dapat dilihat melalui PRK yang berlaku sebelum ini di seluruh Malaysia.
“Mereka (PN) tak ada modal sebab itu senjata yang paling ampuh untuk mereka gunakan adalah isu sentimen bangsa sehingga ada di antara pemimpin mereka yang melampaui batas.
“Jangkaan itu boleh dilihat dalam beberapa siri PRK yang berlaku terutamanya di semenanjung di mana PN sentiasa memainkan isu bangsa seolah-olah mereka sajalah yang perjuangkan bangsa melayu.
“Kena faham, di Malaysia, kita hidup dalam masyarakat yang majmuk justeru tidak perlulah mengungkit antara satu sama lain,” ujarnya ketika ditemui.
Dalam pada itu Aminolhuda turut menyatakan kerja-kerja yang akan dilakukan partinya adalah mengajak pengundi untuk keluar mengundi pada tarikh yang ditetapkan.
Menurutnya lagi, indikator keluar mengundi dalam siri PRK sememangnya tidak memberangsangkan dan hal itu menjadi matlamat bagi parti Amanah untuk memujuk pengundi.
“Keputusan telah pun dibuat dan beberapa siri mesyuarat telah pun berjalan sama ada di peringkat parti Amanah, PH mahupun peringkat PHBN.
“Bagi Amanah kita akan mengambil tugasan untuk membantu sehabis mungkin memenangkan calon Kerajaan Perpaduan di PRK ini.
“Cabaran kita adalah mengajak pengundi untuk keluar mengundi pada hari pengundian serta juga kita mahu memastikan mereka yang keluar mengundi itu akan mengundi calon dari Kerajaan Perpaduan,” ujarnya lagi.
Baca juga : Muhyiddin bakal hilang gelaran ‘Tan Sri’