Anak Sultan Brunei rupanya peminat Anna Jobling

Pelakon jelita, Anna Jobling kembali menjadi soroton ramai setelah berkongsi gambar swafoto di akaun media sosial Instagram miliknya, baru-baru ini.

Mana tidaknya, gambar swafoto tersebut diambil Anna bersama dengan anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah.

Dalam hantaran itu, anak gadis Sultan Brunei iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah tampak ceria di samping Anna.

Anak Sultan Brunei rupanya peminat Anna Jobling

Mengundang tanda tanya, Puteri Ameerah rupanya adalah peminat kepada pelakon kacukan yang mula meraih populariti menerusi drama bersiri Melur Untuk Firdaus itu.

Perkara itu diakui oleh Anna sendiri di mana pengurusnya menerima satu panggilan telefon di hari pertama mereka menjejakkan kaki ke Brunei Darussalam, lapor mStar.

Malah, Puteri Ameerah juga mencemar duli untuk mengadakan pertemuan bersama Anna di dalam sebuah majlis keramaian di sebuah hotel di Brunei, pada Sabtu lalu.

“Pada hari pertama berada di Brunei, saya dimaklumkan oleh pengurus (yang menerima panggilan telefon) bahawa Puteri Ameerah ingin berjumpa dengan saya.

“Terkejut sebab Puteri Ameerah kenal saya. Keesokan hari, Puteri Ameerah sampai di hotel, terus datang lalu memeluk saya. Sebenarnya susah untuk bertemu dengannya.

“Malah, orang Brunei yang bersama kami pun mengakui sukar untuk menemui Puteri Ameerah walaupun mereka tinggal di Brunei,” kata Anna memetik laporan mStar.

Menurut pemilik nama sebenar Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu, mereka menghabiskan masa selama dua jam untuk berbual mengenai pelbagai perkara.

Antara topik perbualan tersebut adalah kehidupan, karier, kucing serta persamaan wajah mereka yang pernah dibangkitkan oleh peminat pelakon berusia 24 tahun itu.

“Rezeki saya dapat bertemu dengannya. Yang kelakarnya, Puteri Ameerah meminati saya. Tetapi saya juga meminati beliau. Sepatutnya, kami berjumpa sekejap sahaja.

“Tetapi kami luangkan masa hampir dua jam berbual tentang Brunei, kehidupan, kerjaya dan kucing. Beliau sangat menyukai kucing. Beliau juga sangat merendah diri, lembut dan manis.

“Saya pernah terbaca komen ramai cakap wajah kami seiras. Puteri Ameerah beritahu bahawa ia adalah satu pujian apabila ada yang mengatakan wajah kami seiras.” Ulas Anna.

Baca juga: Rupanya dalang kehilangan diesel di negara ini datang dari stesen minyak ini