Angkat sumpah hari ini, menyaksikan Tun Juhar sebagai TYT Sabah 10 tahun lebih lamanya

Angkat sumpah hari ini, menyaksikan Tun Juhar sebagai TYT Sabah 10 tahun lebih lamanya. Tun Juhar Mahiruddin akan meneruskan khid­mat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah untuk penggal keempat dan dijadual mengangkat sumpah di Istana Negara, hari ini.

Pelantikan itu sekali gus me­nyaksikan Tun Juhar, 65, meme­gang jawatan berkenaan lebih 10 tahun sejak dilantik pada 1 Januari 2011. Utusan Malaysia difahamkan, istiadat itu akan berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Juhar dilantik Yang di-Pertua Negeri Sabah pada Januari 2011, yang sepatutnya berakhir selepas dua penggal (lapan tahun). Bagaimanapun, beliau dilantik semula ke jawatan itu pada 2018 selepas kerajaan Warisan meminda Perlembagaan Sabah untuk memansuhkan had tempoh dua penggal berkenaan.

Keputusan berkenaan dikecam pembangkang ketika itu, yang mendakwa pelantikan semula Juhar satu ganjaran politik bagi peranan dimainkan dalam membantu Warisan merampas kuasa di Sabah daripada Barisan Nasional selepas pilihan raya negeri 2018.

Juhar turut dipersalahkan kerana membenarkan bekas ketua menteri Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 2020 selepas hilang majoriti kepada pemimpin pembangkang ketika itu, Musa Aman.

Pada September, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) mencalonkan presidennya, Joseph Pairin Kitingan sebagai Yang di-Pertua Negeri.

Mengikut Perlembagaan Sabah, tiada keperluan untuk pemegang jawatan itu beragama Islam, walaupun ada menghujahkan ia wajar kerana beliau juga akan menjadi ketua agama Islam di Sabah. Perlembagaan itu turut menyatakan ketua agama Islam negeri adalah Yang di-Pertuan Agong, bukannya Yang di-Pertua Negeri.

Jawatan Yang di-Pertua Sabah mesti dicalonkan ketua menteri sebelum diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

BACA JUGA:

Taja RM1.1 juta naik taraf pameran orang utan Borneo di Zoo Negara, MPOGCF pupuk kesedaran pemuliharaan hidupan liar

Prakash didakwa menipu wanita, yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga kerugian sebanyak lebih RM500k

Berlaku adil dan berbesar jiwa, pendekatan politik PMX terbukti dilaksana