Seorang wanita membelanjakan lebih 250,000 rupee (RM14,000) untuk membeli rantai emas bagi meraikan hari lahir anjingnya yang bernama Tiger.
Sebuah video yang dimuat turun di laman sosial oleh pemilik kedai barang kemas India, Anil Jewellers, menunjukkan wanita berkenaan, Sarita Saldanha, membeli barang kemas seberat 35 gram dan mengalungkannya pada leher anjing itu.
“Meraikan persahabatan yang mendalam dan indah antara manusia dan haiwan.
“Pelanggan utama kami, Sarita, memutuskan untuk meraikan hari jadi anjing kesayangannya, Tiger, dengan cara yang istimewa.
“Beliau datang ke Anil Jewellers dan memilih rantai yang menakjubkan untuk anjingnya,” menurut hantaran kedai barang kemas di India itu, yang ditonton lebih 86,000 kali.
Video itu juga menunjukkan Tiger, yang tidak diketahui umurnya dan dikenali sebagai spesies anjing jalanan, hanya menunggu di dalam kereta.
Menurut netizen, advrameshbadi37, berkata kesetiaan seekor anjing ‘bernilai berbilion-bilion’ berbanding dengan manusia.
“Pemiliknya menghormati haiwan peliharaannya dengan memberikan hadiah yang sukar dipercayai,” katanya.
Namun, ada juga netizen lain yang mempertikaikan pemberian mewah itu.
“Tahniah, anda menjadikan haiwan kesayangan anda lebih sengsara dan boleh diserang oleh peragut, jangan menangis jika sesuatu berlaku kepadanya,” menurut netizen, Eshwar Padkantwar.
Baca : Harga baju tshirt putih ini cecah RM23,000 sehelai, ini sebabnya