Annuar tak selesa Umno terlalu kalut paksa Muhyiddin isu TPM?

Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah hak istimewa atau prerogatif Perdana Menteri.

Oleh itu, semua pihak perlu memberi ruang seluas-luasnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan mengenainya tanpa perlu ada tekanan.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tidak salah jika ada mana-mana pihak hendak memberi pandangan atau syor mengenai pelantikan jawatan itu namun tidak perlu sampai mewujudkan suasana seolah-olah mahu memberi tekanan kepada Perdana Menteri.

“Bahawasanya jawatan TPM adalah prerogatif adalah hak mutlak sesiapa yang angkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Jadi berilah ruang kepada PM tanpa perlu ada sebarang tekanan, takkan nak jawatan itu kita sampai menekan,mengugut, nak bermacam-macam…tak payah, sebab prerogatif PM,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada komuniti Putrajaya di Dewan Seri Melati, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai undi pemilihan calon-calon TPM yang dibuat oleh beberapa media.

Selain namanya, tiga nama pemimpin dan bekas pemimpin UMNO yang lain telah dipilih sebagai calon TPM.

Mereka ialah Datuk Seri Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketika ini Ismail Sabri yang memegang jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan adalah Ahli Parlimen Bera, manakala Hishammuddin yang juga Menteri Luar adalah Ahli Parlimen Sembrong.

Mohamad pula perlu diberikan dilantik Senator jika dipilih menyertai barisan Kabinet itu sebagai TPM baharu, memandangkan beliau tidak bertanding di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum yang lepas.

Jelas Annuar lagi, semua pihak perlu faham bahawa TPM adalah jawatan paling kanan kepada PM.

Soalnya, bolehkah PM meletakkan individu yang tidak boleh bekerjasama dengannya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bertenang dan kurangkan politiking.

“Kalau PM kata tidak perlu TPM kerana sudah ada empat menteri kanan, kita terima. Tapi kalau PM ubah fikiran hendak wujudkan jawatan TPM pun kita terima.

“Tak perlu kita kalut hingga hilang tumpuan bekerja,” katanya.

Berita penuh: https://malaysiagazette.com/2020/10/29/tpm-tak-perlu-kalut-sampai-menekan-pm/