Anwar sudah memerintah, wanita masih terpinggir

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Johor telah meluahkan isi hati berkenaan dengan nasib pemimpin wanita yang terus terpinggir walaupun ia telah diperintah oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketuanya, Norhayati Bidin ketika Konvensyen 2024 baru-baru ini, beliau telah menimbulkan persoalan serta tuntutan berkenaan dengan peranan wanita dalam menjadi pemimpin tertinggi dalam negara ini.

Ujarnya, penglibatan wanita jauh ketinggalan berbanding dengan penglibatan kaum lelaki yang sentiasa diberikan peluang yang luas.

“Dalam pemerhatian kami, kami melihat kedudukan wanita dari segi pembuat dasar, bilangan calon dalam pilihanraya, kedudukan wanita dalam kepimpinan tertinggi parti dan lantikan jawatan sebagai ahli kabinet malahan lantikan ke GLA/GLC/GLI tidak disambut baik oleh parti mahupun pemerintahan kerajaan hari ini.

“Dapatan dalam negara memaklumkan 49 peratus jumlah penduduk Malaysia adalah wanita namun peranan wanita di dalam pentadbiran negara ini dilihat masih kecil berbanding negara maju yang lain,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, Norhayati ketika berucap turut menyentuh kesediaan negara-negara maju yang menyediakan pelapis dari golongan wanita untuk dijadikan sebagai pemimpin tertinggi negara mereka.

Beliau turut menyebutkan beberapa buah negara di eropah dan negara dunia lain yang telah pun memilih wanita sebagai pemimpin tertinggi negara mereka.

“Di negara maju lain seperti Perancis, Jerman, New Zealand, Australia dan beberapa negara maju sudah pun membuktikan bahawa peranan wanita amat penting sehingga menjadi pemimpin tertinggi bagi negara mereka.

“AWAN Johor juga bersedia menyediakan kepimpinan yang mampan untuk dipilih sebagai pemimpin wanita dalam negara ini serta AWAN juga menegaskan agar ruang yang lebih luas diberikan kepada tokoh-tokoh wanita,” ujarnya lagi.

Baca juga : PN mula hilang undi melayu