Sebelum ini, kehadiran minoriti Rohingya di bumi Aceh telah disambut baik oleh banyak penduduk tempatan yang berempati dengan sejarah panjang penderitaan yang mereka alami akibat perang.
Namun, gelombang kedatangan lebih dari 1,500 pelarian dalam beberapa bulan terakhir telah memberikan perasaan yang berbeza kepada penduduk tempatan.
Sejak akhir tahun lalu, video anti-Rohingya yang tersebar luas di media sosial Indonesia telah meraih lebih dari 90 juta tontonan di TikTok hanya pada bulan November.
Penyebaran berita tersebut, baik yang benar mahupun yang palsu, telah memperkuat sentimen anti-Rohingya di Indonesia, menyebabkan tekanan yang besar terhadap kerajaan untuk segera mengusir mereka.
Menurut penganalisis TikTok di Bandung Fe Institute, Hokky Situngkir, fenomena ini bermula selepas beberapa media tempatan melaporkan kedatangan Rohingya dengan tajuk-tajuk sensasional.
Laporan-laporan tersebut menggambarkan kebanyakan komuniti Rohingya sebagai penjenayah dengan perilaku buruk, dan pemimpin masyarakat Indonesia telah mengukuhkan naratif tersebut.
Beberapa pengguna TikTok berkongsi semula artikel dan video sensasional, yang kemudiannya membantu meningkatkan jumlah tontonan dan pendapatan.
“Kadang-kadang, apabila informasi menjadi terlalu sensasional dan berlebihan, ia menjadi sumber maklumat yang tidak tepat,” kata Situngkir kepada AFP.
Pada bulan Disember, ratusan pelajar universiti menyerbu dewan majlis kerajaan di Banda Aceh yang menempatkan kira-kira 137 etnik Rohingya, dengan meneriakkan, menendang barang-barang pelarian, dan menuntut agar mereka dihantar pulang.
Pelarian tersebut kemudian dipindahkan oleh Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).
“Serangan itu bukanlah tindakan yang terpencil, tetapi hasil dari kempen dalam talian yang diselaraskan dengan maklumat yang salah, penyebaran maklumat yang tidak benar, dan ucapan kebencian,” kata UNHCR.
Di TikTok, komen daripada puluhan akaun palsu UNHCR telah membanjiri video-video mengenai Rohingya.
Sementara itu, penganalisis media sosial, Drone Emprit, Ismail Fahmi, memberitahu AFP bahawa naratif tersebut ‘nampak selaras’ tetapi disampaikan seolah-olah ‘berlaku secara semulajadi’.
Katanya, kempen tersebut bermula dengan siaran daripada akaun-akaun tanpa nama, dan kemudian beberapa pengguna dengan pengikut yang ramai membalas dengan mesej anti-Rohingya, menjadikan naratif itu kelihatan seperti berterusan.
Beberapa video yang paling banyak ditonton menyebarluaskan maklumat palsu mengenai bot-bot yang mendakwa membawa Rohingya ke Indonesia.
Rakaman-rakaman tersebut, yang ditonton berjuta kali di TikTok, sebenarnya adalah penumpang feri di laluan domestik Bangladesh, menurut penyiasatan AFP.
Video-video tersebut dimuat naik di TikTok dan platform video Snack, kemudian disebarkan semula di laman-laman sosial lain seperti Facebook, serta oleh saluran-saluran media tempatan dengan jutaan pengikut, meningkatkan penyebaran maklumat yang salah, menurut pemantauan pasukan Semak Fakta AFP.
AFP, bersama lebih daripada 100 pertubuhan pemeriksa fakta, telah dibayar oleh TikTok dan pemilik induknya, Facebook Meta, untuk mengesahkan video-video yang berpotensi mengandungi maklumat palsu.
Setakat ini, kedua-dua platform tersebut enggan untuk memberi jawapan kepada pertanyaan AFP.
Bagi sesetengah orang di Aceh, perasaan anti-Rohingya datang daripada kekecewaan terhadap kurangnya usaha kerajaan dalam menangani isu ini.
Namun, ada juga yang mempersoalkan kesahihan video tersebut, dengan beberapa pihak menduga bahawa mungkin terdapat penggunaan kecerdasan buatan (AI) atau robot dalam kempen tersebut.
Baca Juga : Lepaskan niqab, ini penjelasan Ai Wahida