Apa masalahnya kalau dia boleh bekerja untuk tempoh itu walaupun tidak ikut jadual ditetapkan, kata Sivakumar

Apa masalahnya kalau dia boleh bekerja untuk tempoh itu walaupun tidak ikut jadual ditetapkan, kata Sivakumar. Waktu kerja fleksibel yang ditetapkan menerusi pindaan Akta Kerja 1955 bukan bersifat paksaan ke atas majikan tetapi hanya galakan untuk meningkatkan produktiviti pekerja, kata Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Menurut beliau, ia terpulang kepada majikan sama ada untuk melaksanakan sistem kerja itu atau sebaliknya.

“Dengan adanya pindaan dalam akta ini (waktu kerja fleksibel) ia akan menjadi satu galakan yang lebih bersifat perundangan, tetapi tiada paksaan. Jadi ini adalah satu penambahbaikan kepada sistem atau cara kita bekerja di negara ini.

“Bukan semua orang boleh mengikuti masa yang sama untuk bekerja, contohnya mungkin ada pihak tertentu yang tidak boleh bekerja antara jam 8 pagi hingga 5 petang disebabkan beberapa urusan seperti tanggungjawab keluarga hingga memaksa mereka masuk kerja lewat dan sanggup pulang lewat,” katanya ketika ditemui pada satu program di Tronoh, hari ini, menurut Berita Harian.

Tambahnya lagi, majikan digalak mengadakan waktu kerja fleksibel yang mana seseorang masih perlu bekerja untuk satu tempoh masa tertentu seperti ditetapkan dalam tempoh seharian.

“Kita mahu mereka bekerja untuk satu tempoh tertentu yang mana setiap hari dia tetap kena kerja untuk tempoh masa itu. Apa masalahnya kalau dia boleh bekerja untuk tempoh itu walaupun tidak ikut jadual ditetapkan dan itulah kaedah yang disarankan dalam undang-undang ini,” katanya.

Pada satu program semalam, Sivakumar dipetik sebagai berkata pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan waktu kerja fleksibel antara perkara yang bakal diberi tumpuan oleh kementeriannya.

Katanya, ia termasuk beberapa pelan lain yang dirancang dilaksanakan dalam masa terdekat.

Pindaan Akta Kerja 1955 sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September lalu, namun ditangguhkan ke 1 Januari ini selepas industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor termasuk memerlukan sedikit masa berikutan kebanyakannya masih dalam proses pemulihan ekonomi.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

BACA JUGA:

Jangan lupa syarat sokong belanjawan kerajaan lepas, Fahmi bidas kritikan Ermieyati

Ramai belum tahu kewujudan penting JHEV ATM di Malaysia, jom baca untuk tahu

Dr Zulkifli beri penjelasan, hukum suami tidak pergi solat Jumaat gara-gara isteri