Sudah bertahun-tahun kita mendengar tentang tips iPhone yang basah perlu diletakkan di dalam beras untuk sepanjang hari.
Walaupun ada yang mendakwa ia berhasil, penyelidik mendedahkan bahawa dakwaan itu semua mitos sama sekali dan beras sebenarnya tidak mengeringkan telefon dengan lebih cepat tetapi boleh melambatkan prosesnya.
Kini, Apple sendiri turut menasihatkan pengguna untuk tidak meletakkan iPhone yang basah ke dalam beras.
“Jangan letak iPhone anda ke dalam beg beras. Dengan berbuat sedemikian, ia boleh membenarkan partikel kecil dari beras merosakkan iPhone anda,” tegasnya.
Apple juga menggesa pengguna agar tidak mengeringkan iPhone menggunakan haba luaran atau udara termampat. Selain daripada itu, tidak boleh juga memasukkan bendasing seperti kapas atau tisu dalam port sambungan Lightning atau USB-C.
Oleh itu, Apple mencadangkan beberapa langkah berikut untuk mengeringkan iPhone yang basah.
Cara keringkan iPhone basah dengan betul
1. Tepuk iPhone perlahan-lahan menggunakan tangan dengan port sambungan menghadap ke bawah untuk mengeluarkan cecair berlebihan.
Biarkan iPhone di kawasan kering dengan sedikit aliran udara.
2. Selepas 30 minit, cuba cas dengan kabel Lightning atau USB-C atau sambungkan pada aksesori.
3. Jika melihat peringatan di skrin lagi, tinggalkan iPhone itu di kawasan kering dengan sedikit aliran udara selama sehari. Pengguna boleh mencuba lagi dengan mengecas atau menyambungkan aksesori sepanjang tempoh tersebut.
4. Cabut kabel pengecas dan sambung semula jika telefon kering tetapi masih tidak dicas.
Sekiranya iPhone didapati masih mengalami masalah yang sama, wajarlah pengguna menghubungi khidmat pelanggan Apple untuk tindakan selanjutnya.
Baca juga: Ada cara lain simpan santan selain peti sejuk, petua orang lama ni