AS laksanakan sekatan ke atas firma Malaysia yang terbabit dalam penjualan petroleum Iran bernilai ratusan juta dollar
Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan terhadap sebuah syarikat Malaysia atas dakwaan terbabit dalam pengeluaran, penjualan dan penghantaran petrokimia serta petroleum Iran bernilai ratusan juta dolar.
Reuters melaporkan Jabatan Perbendaharaan AS melaksanakan sekatan ke atas Sense Shipping and Trading Sdn Bhd.
Turut dikenakan sekatan oleh AS ialah dua syarikat Singapura, Asia Fuel Pte Ltd dan Unicious Energy Pte Ltd, serta enam pengeluar petrokimia berpangkalan di Iran.
Washington mendakwa Asia Fuel membantu penghantaran produk petroleum bernilai jutaan dolar kepada pelanggan di Asia Timur.
“Iran beralih kepada pembeli di Asia Timur untuk menjual produk petrokimia dan petroleumnya yang melanggar sekatan AS,” kata Brian Nelson, setiausaha rendah bagi perisikan keganasan dan kewangan Jabatan Perbendaharaan AS.
Menurut Reuters, syarikat terbabit didakwa terbabit dalam membantu penjualan dan penghantaran petroleum serta petrokimia bagi pihak Triliance Petrochemical Co Ltd.
Triliance Petrochemical dikenakan sekatan oleh Washington tiga tahun lalu.
Pihak yang dikenakan sekatan akan berdepan aset mereka di AS dibekukan dan rakyat AS secara amnya dilarang berurusan dengan mereka.
Mereka yang terbabit dalam transaksi tertentu dengan syarikat berkenaan juga berisiko dikenakan sekatan.
Tahun lalu, Jabatan Perbendaharaan AS melaksanakan sekatan terhadap sebuah kumpulan Malaysia atas dakwaan terbabit dalam “pemerdagangan kejam hidupan liar terancam dan produk pemburuan haram”.
Ia menamakan warga Malaysia, Teo Boon Ching, “pertubuhan jenayah transnasional pemerdagangan hidupan liar Teo Boon Ching” dan syarikat Malaysia, Sunrise Greenland.
Katanya, organisasi itu khusus dalam pengangkutan tanduk badak sumbu, gading dan tenggiling dari Afrika.
BACA JUGA:
CR7 jaring 4 gol menewaskan Al Wehda, perolehi 503 gol untuk lima kelab berbeza
533 kanak-kanak dari 6 TASKA, 92 TABIKA terima anugerah sijil di kawasan Parlimen Ranau