Azmin akui kadar pengangguran naik kepada 3.5% pada suku pertama 2020

Kadar pengangguran naik kepada 3.5% pada suku pertama 2020 daripada 3.3% tahun lepas, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali hari ini.

Bercakap pada pelancaran laporan produktiviti bagi 2020, beliau berkata peningkatan pengangguran itu mencerminkan betapa teruknya pandemik Covid-19, yang menyaksikan perniagaan terganggu, premis ditutup, dan rantaian bekalan terputus kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya ingin ulangi langkah inkremental dalam menangani pandemik itu yang membawa kepada PKP pemulihan membuahkan hasil yang produktif,” tambahnya.

Beliau juga berkata tenaga buruh tahun lepas meningkat 2% kepada hampir 15.6 juta orang.

Prestasi produktiviti buruh pula tahun lepas meningkat 2.2% berbanding peningkatan 3.4% pada 2018.

“Dari segi produktiviti buruh per orang, Malaysia melaporkan produktiviti sebanyak AS$68,473, mengatasi Thailand, Indonesia, China, dan Vietnam,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun berkata Malaysia ketinggalan berbanding Korea Selatan dan Jepun, manakala China dan Vietnam melaporkan pertumbuhan produktiviti yang pantas dan konsisten.

Beliau berkata pertumbuhan produktiviti yang ketara dilaporkan di sektor perkhidmatan profesional (6%) dan pelancongan (5.3%).

Produktiviti di sektor kimia dan produk kimia, dan jentera dan pelengkapan pula masing-masing turun 2.1% dan -2%.

Azmin melaporkan sub-sektor pertanian makanan, elektrik dan elektronik, runcit dan makanan dan minuman, teknologi maklumat dan komunikasi, dan penjagsaan kesihatan swasta terus mencatatkan pertumbuhan.

Pada suku pertama 2020, katanya, Malaysia berjaya melepasi penguncupan, mencapai pertumbuhan sebanyak 0.7%.

Beliau berkata penguncupan dijangka pada suku kedua kerana Covid-19 dan akibat daripada langkah kerajaan mengawal wabak ke atas ekonomi.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/06/30/pengangguran-naik-kepada-3-5-pada-suku-pertama-2020/