Bank Negara beku wang tunai, emas milik XFOX

Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini menjalankan serbuan ke atas 12 premis di sekitar Lembah Klang sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan terhadap XFOX Market Sdn Bhd serta beberapa entiti lain. Serbuan ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan, di mana sejumlah dokumen serta barang-barang berkaitan dirampas bagi membantu siasatan.

Antara aset yang dirampas termasuklah emas, wang tunai lebih daripada RM4.85 juta termasuk mata wang asing, mata wang kripto, kereta, serta barangan mewah. Selain itu, 92 akaun bank yang mengandungi RM25.4 juta serta peti deposit selamat (safe deposit box) juga telah dibekukan.

BNM dalam kenyataannya menyebut, tindakan diambil terhadap XFOX Market kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967, Seksyen 27B Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993, dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Entiti ini telah disenaraikan dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Jun 2023,” kata kenyataan BNM.

Menurut BNM, sabitan di bawah Seksyen 137(1) FSA kerana menerima deposit tanpa lesen boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda hingga RM50 juta, atau kedua-duanya. Sabitan di bawah Seksyen 4(1) AMLA boleh membawa hukuman penjara hingga 15 tahun bersama-sama denda sekurang-kurangnya lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi.

Serbuan ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama pelbagai agensi untuk membanteras jenayah kewangan di Malaysia. Operasi ini melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), serta dibantu oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di bawah penyelarasan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (National Anti-Financial Crime Centre, NFCC).

BNM menggesa orang ramai agar hanya meletakkan deposit atau melabur dengan entiti yang dilesenkan atau berdaftar dengan pihak berkuasa berkaitan. “Pembabitan dalam syarikat yang tidak berlesen atau tidak berdaftar boleh menyebabkan seseorang dianggap sebagai bersubahat dengan kesalahan yang dilakukan,” tambah kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai skim kewangan haram dan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh BNM, orang ramai boleh melayari halaman Tindakan Penguatkuasaan BNM. BNM juga menasihatkan agar orang ramai berhati-hati dalam mempertimbangkan mana-mana peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.

 

Baca : Syarikat ini belanja RM14.3 Juta hanya untuk dinner, mohon kerja disini sekarang