Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan aliran berbuih serta bau seakan diesel di sebuah tapak projek pembangunan di Sungai Gombak sekitar jam 1 tengah hari pada Sabtu.
Menerusi hantaran di Facebook, LUAS berkata semakan mendapati permasalahan itu disyaki berpunca daripada pencucian jentera berhampiran lokasi pihaknya selepas anggota menjalankan pemeriksaan.
“Aliran cucian tersebut masuk ke longkang premis dan seterusnya ke dalam kolam rawatan dan ke sungai berhampiran.
“LUAS telah melakukan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan di premis berkenaan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut,” katanya.
Tambahnya lagi, sekitar jam 8 malam didapati aliran berbuih tersebut dikesan semula di Loji Rawatan Air (LRA) Gombak.
Susulan itu, pihaknya telah melakukan pensampelan bagi mengenalpasti kandungan aliran berbuih tersebut.
“Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS bersama pihak Air Selangor sedang menjalankan siasatan menjejaki punca aliran berbuih berkenaan di hulu sungai Gombak dan anak-anak sungai berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, satu siasatan bersama pihak Air Selangor juga telah dijalankan sehingga jam 4 pagi Ahad namun tiada sebarang kesan ditemukan.
“Siasatan LUAS bersama pihak Air Selangor ditangguhkan pada jam 4 pagi berikutan kekangan akses dan keadaan yang gelap serta kawasan hutan tebal.
“Siasatan akan disambung semula hari ini bagi mengenalpasti punca aliran berbuih tersebut dan tindakan berkaitan bagi mencegah ia daripada berulang,” jelasnya.
Sumber: Lembaga Urus Air Selangor/Facebook
BACA: