Bekalan ubat kurang, boleh berlanjutan hingga hujung tahun

Bekalan ubat kurang, boleh berlanjutan hingga hujung tahun. Beberapa jenis ubat-ubatan dikesan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh yang ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat yang didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara.

Jika masalah itu tidak diatasi segera, dibimbangi kekurangan bekalan ubat boleh berlanjutan sehingga hujung tahun ini.

Kekurangan itu diakui oleh Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan pengamal perubatan di klinik swasta.

Presiden PERDIM, Dr Boi Saidi Abd Razak, berkata maklumat yang diperoleh pihaknya mendapati beberapa klinik swasta mengalami kekurangan bekalan ubat berpunca daripada pembekal dari dalam dan luar negara yang tidak dapat menyediakan bekalan seperti yang ditetapkan disebabkan kekurangan bahan mentah.

“Daripada maklumat yang diperoleh pihak kami mendapati sekiranya masalah ini tidak dibendung segera, kekurangan bekalan ubatan ini boleh berlanjutan sehingga hujung tahun.

“Klinik swasta juga sudah mula melaporkan kekurangan bekalan ubat batuk, demam dan antibiotik dengan alasan diberikan syarikat ubatan bahan baku (mentah) gagal dihantar ke negara ini dalam tempoh ditetapkan.

“Bahan mentah ini sangat penting kerana ia diperlukan untuk memproses ubat-ubatan yang dikilangkan di negara ini.

Bekalan ubat kurang, boleh berlanjutan hingga hujung tahun

“Kegagalan kilang untuk mendapatkannya (bahan mentah) dalam waktu yang ditetapkan menjejaskan pengeluaran ubat dalam negara,” katanya kepada BH.

Berikutan itu, Dr Boi Saidi berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat campur tangan segera untuk mengatasi masalah berkenaan.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang mengesahkan situasi sama turut dialami di farmasi komuniti dan ia berkemungkinan disebabkan oleh penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang semakin berleluasa.

Katanya, maklumat daripada pihak farmasi komuniti memaklumkan kebanyakan ubat-ubatan yang berkurangan di pasaran itu adalah ubat yang digunakan untuk rawatan HFMD.

“Rawatan untuk jangkitan HFMD tidak spesifik dan ada antara farmasi yang kini sudah kehabisan stok dan tidak mempunyai pilihan ubatan alternatif terutamanya untuk rawatan kepada bayi,” katanya
Sementara itu, tinjauan BH di beberapa klinik swasta juga mendapati mereka turut mengalami kekurangan bekalan ubat, malah ada antara pengamal perubatan mendakwa bekalan mereka hanya boleh bertahan kurang lima bulan.

Pemilik klinik swasta di Batu Pahat, Dr Noor Izyan Jamain, berkata usaha untuk mendapatkan bekalan ubat kini lebih susah jika dibandingkan ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau mengakui pihaknya sangat terkesan dengan kekurangan bekalan ubat berkenaan dan terpaksa menggunakan pelbagai cara bagi mendapatkan bekalan untuk kliniknya.

“Bekalan ubat di klinik ini boleh bertahan tiga hingga empat bulan, itu pun sebab bekalan bagi setiap ubat memang dibeli lebih. Masa PKP pun agak susah untuk dapatkan bekalan ubat, tetapi lebih sukar untuk mendapatnya ketika ini.

“Berikutan itu, kita kena ikhtiar sendiri menelefon beberapa pembekal untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan. Sekarang ini jenama ubat dah tak penting, apa yang penting kami berjaya mendapatkan ubat itu. Kami sentiasa mencari bekalan bagi mengelakkan klinik kehabisan stok,” katanya kepada BH.

Pemilik sebuah lagi klinik swasta di Ipoh, Perak yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata beliau tidak terkesan dengan bekalan ubat kerana kliniknya baru dibuka kira-kira sebulan lalu.

“Ketika mula beroperasi, memang sukar dapat bekalan terutamanya paracetamol untuk orang dewasa dan kanak-kanak kerana pembelian dihadkan untuk beberapa kotak sahaja pada satu masa,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak terkesan dengan kekurangan bekalan ubat, namun mengakui ada rungutan daripada rakan doktor yang lain mengenai isu berkenaan.

Katanya, ada rakan doktor memaklumkan mereka terpaksa mendapatkan bekalan ubat daripada farmasi luar kerana pembekal tidak dapat membekalkan ubat khususnya ubat demam.

Februari lalu, bekalan paracetamol, ubat yang lazimnya digunakan bagi melegakan demam dan sakit kepala, dilaporkan mengalami kekurangan dan sukar didapati di farmasi komuniti dan kedai serbaneka.

Tinjauan BH di farmasi komuniti ketika itu mendapati rak yang mempamerkan ubat berkenaan, terutamanya sebuah cap dagang terkemuka, didapati kosong berikutan permintaan tinggi daripada pengguna lebih-lebih lagi ketika kes COVID-19 semakin tinggi.

BACA:

Lelaki terkejut bila batu berat 50kg yang dijumpai kandungi fosil bernilai rm5 juta

Ini beza antara barang kemas 916 dan 999, semua wanita wajib tahu