Belum Yakin Nak Serah Pada Anak-Anak, Yusof Haslam Masih Tak Bersedia Untuk Bersara

Masih gigih bekerja, penerbit terkenal, Yusof Haslam nampaknya masih belum bersedia untuk menyerahkan pengurusan syarikat kepada anak-anak.

Jika tanggungjawab itu diserahkan kepada anak-anak, Yusof khuatir urusan syarikat bakal berjalan dengan tidak lancar di masa hadapan.

Hal ini menjadi punca Yusof, yang pernah bergelar pengarah itu masih menjaga pentadbiran syarikatnya hingga kini walaupun sudah berusia 69 tahun.

Menurutnya, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum membuat sebarang keputusan untuk menyerahkan syarikat kepada anak-anak.

Selain tanggungjawab yang perlu digalas sangatlah besar, industri perfileman pada masa kini pula dianggap Yusof Haslam semakin mencabar.

“Kalau saya tinggalkan syarikat ini kepada mereka (anak-anak) saya bimbang kalau syarikat tidak boleh bergerak dengan lancar.

“Sebab kena ingat dalam pembikinan filem ini bukan sahaja untuk hasilkan filem atau berkarya sahaja tetapi perlu jaga soal bajet.

“Soal pergerakan syarikat itu sebenarnya penting. Bukan semata-mata keluarkan filem dan berkarya kita perlu ada pelan sokongan,” katanya memetik mStar.

Yusof mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Datin Patimah Ismail pada tahun 1982 dan pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata.

Anak-anak mereka ialah Mohd Faizal (lahir 1978), Mohd Shamsul (lahir 1984), Nursyamin (lahir 1988) dan Mohd Syafiq (lahir 1992).

Syarikat penerbitan milik Yusof Haslam iaitu Skop Production mula ditubuhkan pada bulan March 1985 ketika beliau baru berusia 31 tahun.

Skop Production menerbitkan filem pertamanya, Bayangan Maut pada tahun 1991 lakonan ratu rock, Ella, Noorkumalasari dan Yusof sendiri.

Sehingga kini, syarikat berkenaan telah berjaya meraih keuntungan yang melimpah ruah setelah menghasilkan banyak filem pecah panggung.