Berikan peluang pekerjaan untuk B40 lebih baik berbanding sumbangan tunai.
Setiap tahun, rakyat terutamanya yang tergolong dalam kumpulan pendapatan rendah (B40) akan menantikan bantuan daripada kerajaan dengan harapan ia dapat membantu meringankan beban kewangan.
Sejak pembentangan Belanjawan 2012, perdana menteri dan menteri kewangan pada ketika itu, Najib Razak memperkenalkan bantuan ini yang dinamakan sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Idea ini walaupun disambut baik golongan B40, ia bagaimanapun dikritik oleh beberapa pemimpin politik termasuk Dr Mahathir Mohamad dan juga Anwar Ibrahim yang pada ketika itu menjalankan tanggungjawab sebagai ketua pembangkang.
Namun begitu, pemberian bantuan kewangan ini diteruskan meskipun kerajaan pimpinan Najib tumbang pada 2018, cuma ia dijenamakan semula kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) pada era pentadbiran kedua Mahathir yang bertahan hanya selama 22 bulan.
Kemudian bantuan ini dijenamakan lagi menjadi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin, sebelum ditukar menjadi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) oleh Ismail Sabri dan kini ia diberi nama sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
STR akan disalurkan kepada rakyat secara berfasa yang mana fasa 1 dimulakan pada 17 Januari lalu berjumlah RM1.67 bilion dan ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Isi Rumah, Warga Emas Tiada Pasangan dan Bujang.
Meskipun bantuan kewangan ini dilihat sebagai satu inisiatif positif daripada kerajaan, ramai pakar ekonomi berpandangan langkah ini bukan penyelesaian untuk menangani isu kemiskinan di negara kerana ia hanya ibarat “ruang bernafas” untuk jangka pendek.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) Lee Heng Guie, berkata walaupun kerajaan tetap perlu menjaga kebajikan golongan B40, tumpuan utama kerajaan ialah memastikan supaya golongan ini akhirnya dapat keluar daripada kelompok tersebut.
Katanya, ini bermakna, kerajaan perlu utamakan usaha memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan terus mencipta peluang pekerjaan selain mencari jalan menurunkan kos harga barangan.
“Lebih baik bantu mereka dapatkan pekerjaan atau punca rezeki dengan meningkatkan kemahiran,” katanya.
“Tidak wajar menggalakkan pemberian bantuan seperti ini setiap tahun dan tumpu keluarkan golongan ini keluar daripada garisan kemiskinan.”
Mengulas mengenai STR, Lee bersetuju bantuan kewangan ini masih perlu diteruskan pada masa ini terutama apabila rakyat masih merasai impak Covid-19.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebab banyak pihak termasuk pakar ekonomi merasa bimbang berhubung skim bantuan ini adalah kerana kedudukan fiskal negara terutama apabila hutang negara dan liabiliti kini sudah mencecah RM1 trilion.
Jelasnya, selain bantuan kewangan, pelbagai jenis bantuan seperti subsidi yang perlu ditanggung menggunakan dana yang diperuntukkan dalam belanjawan.
“Sebab itu penting untuk pastikan hanya yang memerlukan akan terima bantuan ini, tetapi persoalannya, bagaimana kerajaan nak laksanakan? Itulah cabaran sebenar,” katanya.
Satu lagi persoalan timbul berhubung pemberian bantuan kewangan ini ialah dari aspek mentaliti dan sikap penerima apabila mereka bebas untuk membeli apa-apa sahaja termasuk barangan bukan keperluan seperti rokok.
Malah, pernah juga dilaporkan pada 2017 apabila seorang penganggur mendakwa membeli dadah menggunakan BR1M, membuktikan penyalahgunaan bantuan skim bantuan ini.
Selain itu, isu yang pernah menjadi hangat sebelum ini ialah pemberian baucar buku pada era pentadbiran Najib apabila ramai penerima menjual baucar itu pada harga diskaun semata-mata untuk mendapatkan wang tunai.
Disebabkan faktor-faktor ini, Lee turut menyarankan supaya kerajaan memastikan pengagihan bantuan ini dilakukan berdasarkan penilaian data yang tepat serta perlu ada kriteria jelas untuk penerima selayaknya.
Dari aspek politik, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berpandangan pemberian bantuan wang tunai ini boleh dianggap sebagai langkah populis untuk menambat hati rakyat.
Katanya, langkah ini membolehkan pemimpin itu melonjakkan reputasi dan imejnya serta kerajaan yang memerintah.
“Ahli politik tahu itu cara terbaik memujuk rakyat dan untuk pembangkang ini adalah senjata politik untuk merosakkan imej pemimpin itu,” kata Jeniri yang merujuk kepada pendirian Mahathir terhadap BR1M sebelum beliau menjenamakan semula kepada BSH.
“Tetapi bagi rakyat, mereka suka. Siapa yang tak suka duit?
“Langkah ini dilihat sebagai jalan mudah untuk membantu rakyat meskipun hakikatnya ia bukan jalan terbaik,” tambahnya.
BACA JUGA:
Sukan Asia Hangzhou 2022 yang tertunda bakal berlangsung tahun ini
Budak lelaki 12 tahun terjatuh dari tingkat 11, patah tangan kiri
MANGSA BANJIR JOHOR: Berlaku peningkatan dari 774 kepada 2,757 orang