Berjaya turunkan berat badan berlebihan, Regine Wong jadi jurulatih popular di TikTok

Berjaya turunkan berat badan berlebihan, Regine Wong jadi jurulatih popular di TikTok.

Regine Wong, gadis berusia 26 tahun itu berjalan menuju ke pintu masuk sebuah gim dengan lengkap berpakaian sukan.

Sejak beberapa tahun lalu, itulah rutinnya yang mahukan gaya hidup sihat dan cergas.

Pendek kata, hampir setiap hari anak kelahiran Perak itu menghabiskan masanya mengunjungi pusat kecergasan bagi mengekalkan stamina dan tenaga.

Sedekad lalu, Wong berada dalam keadaan yang sangat berlawanan dengan dirinya pada hari ini.

Ketika itu, semasa usia belasan tahun dan masih bergelar pelajar sekolah menengah, dia memiliki berat badan berlebihan daripada ukuran tinggi dan umurnya.

Katanya, dia hilang keyakinan untuk berdepan dengan orang dan sering kali menjauhkan diri daripada terlibat dengan pergaulan orang ramai kerana malu berasa malu dengan keadaan fizikal dirinya.

Menurut Wong, pada usia 16 tahun beratnya sudah mencecah kepada 85kg dengan ketinggian 175cm.

Tambahnya, dia memerhatikan rakan-rakan sebayanya mempunyai berat badan yang ideal dan rata-ratanya kurus kecuali dirinya.

“Balik sekolah saya makan nasi, balik ke rumah saya makan nasi,” katanya kepada MalaysiaNow mengimbas punca kegemukan dirinya.

“Sekarang, berat saya 60kg lebih.”

Sehingga satu hari dia rasa terpanggil untuk memotivasikan diri untuk menurunkan berat badan dan mengekalkan gaya hidup yang sihat.

Wong menyifatkan, amalan itu bukan sahaja bermanfaat untuk kesihatan diri bahkan juga kewangan individu.

Katanya, seseorang yang sihat terutamanya apabila menjaga pemakanan dan sentiasa bersenam susah untuk mendapat penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit buah pinggang.

Dengan cara itu, kata Wong, mereka boleh menjimatkan wang daripada mengeluarkan kos rawatan atau membeli ubat-ubatan yang mahal.

Kini bukan sahaja dia mampu menurunkan berat badan dan memiliki berat yang ideal, Wong turut menjadi salah seorang jurulatih kecergasan di gim dan pusat kecergasan yang dia sering kunjungi.

Sebelum sampai ke tahap itu, Wong mengikuti kursus-kursus serta kemahiran untuk menjadi jurulatih.

Di samping itu, ianya juga menjadi salah satu punca pendapatan sampingan untuk meneruskan kehidupan di ibu kota, Kuala Lumpur.

Cantik dan mahir fisioterapi

Keazaman Wong untuk bangkit mendapatkan keyakinan baru dalam kehidupannya tidak terhenti kepada hanya menurunkan berat badan.

Episod gelap dalam hidupnya yang kurang keyakinan diri dan berasa kerdil di mata orang menjadikan Wong nekad mahu membantu sesiapa sahaja yang berasa “kurang” dalam hidup.

Selepas tamat persekolahan, dia menyambung pengajian dalam jurusan juru pulih atau juruterapi (fisioterapi) di Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dan berjaya mendapatkan kerja di sebuah pusat rawatan dan pemulihan terapi di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, selepas beberapa ketika dia bertindak untuk bergerak sendiri sebagai ahli fisioterapi bebas.

Kini, dia memberi rawatan di rumah-rumah pesakit.

Kebanyakan pesakit Wong ialah mereka yang mengalami strok dan kecederaan serius melibatkan saraf akibat kemalangan.

Rutinnya dari pagi di gim dan sebelah petang memberi khidmat kepada pesakit tidak pernah membuatkan dirinya penat dan letih.

Sebaliknya bersemangat dan memotivasikan dirinya untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

“Saya jadi sangat gembira apabila mereka (pesakit) dapat bergerak semula dan beritahu saya bahawa mereka sudah boleh mengangkat tangan, membengkokkan tangan.

“Itulah keriangan yang saya kecapi,” katanya dengan senyuman lebar terukir di wajahnya.

Selepas pulang dari memberi khidmat fisioterapi di rumah-rumah pesakit, rutin Wong masih belum berakhir.

Dia juga aktif bersosial dengan rakan-rakan.

Dia selalu keluar bersiar-siar sambil mencari bahan-bahan untuk mencipta kandungan untuk platform media sosialnya di TikTok.

Wong dikenali sebagai usahawan sosial yang mempunyai 38.5 ribu pengikut di TikTok dan lebih 10,000 pengikut di Instagram.

Melalui platform itu dia akan menyambung perkongsian dalam bentuk video pendek mengenai tips penjagaan kesihatan dan kecergasan.

Dalam tempoh terdekat ini, kata Wong, dia dalam proses akhir membuka pusat kecergasannya sendiri.

Dengan wujudnya pusat kecergasan itu, dia berharap agar dapat membantu lebih ramai orang yang memiliki masalah berat badan berlebihan supaya tampil lebih yakin depan khalayak ramai.

“Ini sudah jadi salah satu daripada tugas kita untuk tingkatkan keyakinan mereka.

“Apabila kesedaran juga timbul, lama kelamaan mereka akan mengikuti sendiri program-program kecergasan yang kita anjurkan.

“Kemudian mereka akan tahu, apa yang saya dan orang lain dah capai mereka juga boleh realisasikan bersama.”

BACA JUGA :

Murid hadiahkan udang galah untuk ustaz

Anak lesapkan wang dalam bank ketika ibu terlantar sakit

Pasukan hoki tak lepas ke suku akhir, Malaysia masih berbangga – PMX

COMMENTS

Wordpress (1)
  • […] Berjaya turunkan berat badan berlebihan, Regine Wong jadi jurulatih popular di TikTok […]