Bersatu sanggup telan ludah kembali bersama Umno bentuk kerajaan di Perak?

Bersatu sanggup telan ludah kembali bersama Umno bentuk kerajaan di Perak?

Bersatu Perak akan terus bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan gabungan baharu, kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau menambah, Bersatu Perak di bawah pimpinannya sentiasa bersedia untuk tujuan itu.

“Kami bekerjasama dengan Umno dan parti lain di peringkat Persekutuan dan banyak negeri lain. Bersatu akan berkhidmat untuk rakyat bersama mana-mana parti (termasuk Umno) bagi tujuan itu (untuk membentuk kerajaan negeri baharu),” katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan memerlukan sokongan 30 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Sehingga kini, UMNO memiliki 25 kerusi, Bersatu (lima), PAS (tiga), DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Gerakan (satu) dan seorang wakil Bebas.

Menurut laporan sebuah portal, memetik kenyataan sumber yang rapat dengan Ahmad Faizal, gabungan Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk bekerjasama dengan Umno asalkan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dilantik sebagai Menteri Besar.

Menurut portal itu, sumber berkenaan dipetik sebagai berkata, PN Perak kecewa dan percaya bahawa Pengerusi Umno negeri, Datuk Shaarani Mohamad adalah dalang di sebalik gerakan menyingkirkan Ahmad Faizal.

Terdahulu, Shahrul Zaman mengumumkan bahawa Umno Perak mencalonkan Shaarani sebagai calon Menteri Besar Perak ke-14.

Beliau yang mengumumkan perkara itu di Facebook menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu dan membenarkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudrin Shah membuat keputusan.

Semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan bahawa satu gabungan baharu akan diwujudkan bagi membentuk kerajaan negeri Perak.

Sementara itu, sumber Bersatu Perak berkata, tiada sebarang gabungan dibentuk oleh mereka setakat ini sebagai sokongan berterusan kepada PN.

Sumber yang dihubungi New Straits Times melalui WhatsApp berkata, mereka juga tidak menetapkan sebarang syarat termasuk mewajibkan Shahrul Zaman dilantik sebagai Menteri Besar.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/650502/bersatu-bersama-umno-bentuk-kerajaan-gabungan-baharu