Bersihkan parti dari sebarang pengkhianatan, lima Adun UMNO bakal digantung

Bersihkan parti dari sebarang pengkhianatan, lima Adun UMNO bakal digantung.

Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah dikatakan bakal digantung keahlian kerana memberikan sokongan terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor dalam satu siri pergolakan politik di Sabah baru-baru ini.

Menurut sumber, perkara tersebut merupakan antara agenda yang akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan pada Jumaat di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).

“Antara perkara yang dibincangkan esok (hari ini) dalam mesyuarat MKT ialah untuk mengantung keahlian ADUN UMNO Sabah yang telah membelakangkan keputusan parti.

“Shahelmey Yahya, Jasnih Daya, James Ratib, Mohd Arsad Bistari dan Yusof Yacob sudah dalam senarai termasuk nama-nama lain di Semenanjung,” kata sumber itu malam tadi.

Tambahnya lagi, keputusan yang bakal dibuat itu turut mengambil kira kelangsungan UMNO dalam persada politik tanah air selain bertujuan untuk membersihkan parti daripada sebarang bentuk pengkhianatan pada masa hadapan.

“Tindakan 5 ADUN ini dilihat sebagai pengkhianatan terbesar kepada parti. Sebelum menarik sokongan, mereka tidak menghadiri mesyuarat perhubungan negeri bersama ketua-ketua bahagian dan ADUN yang lain sebaliknya terus membelakangkan keputusan yang dibuat.

“Pembersihan juga bertujuan memastikan tiada lagi individu yang akan membelakangkan sebarang keputusan parti dan untuk memastikan UMNO mampu bergerak sebagai satu pasukan,” tambah sumber itu.

Lima ADUN UMNO Sabah iaitu Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Yusof Yacob (Sindumin) pada 8 Januari mengesahkan sokongan terhadap Hajiji melalui akuan bersumpah (SD) untuk meneruskan pentadbiran beliau selaku Ketua Menteri sehingga tamat penggal.

Perkara tersebut sekali gus dilihat sebagai tindakan membelakangkan keputusan UMNO Sabah yang sebulat suara menarik sokongan terhadap kepimpinan Hajiji yang didakwa tidak selari dengan Fasal 6 (3) dan (7) Perlembagaan Negeri Sabah pada 6 Januari lalu.

BACA JUGA:

COVID-19: Catat 179 kes baharu, 3 kematian

Hadapi Islamofobia dengan akhlak yang baik, bantah secara aman

Bot dinaiki terbalik di Krabi, dua rakyat Malaysia terkorban