BEKAS pembantu rumah pelakon Zarina Zainuddin mendedahkan dia melarikan diri daripada rumah majikannya kerana tidak tahan dipukul oleh anaknya iaitu Azil yang menghidap autisme.
Pembantu rumah yang dikenali sebagai Rahayu itu memberitahu dia turut mempunyai bukti bahagian tubuhnya mengalami lebam akibat dipukul.
“Saya lari kerana sudah dipukul oleh anaknya yang menghidap autisme iaitu Azil. Saya mempunyai bukti dipukul menerusi gambar-gambar yang diambil,” katanya.
Rahayu mendedahkan perkara itu menerusi akaun TikTok @atir638 pada Isnin.
Bagaimanapun wanita itu memadamkan video berkenaan selepas beberapa jam ia dikongsi di pelatform berkenaan.
Dalam pada itu, Rahayu menyangkal tuduhan dia mencuri barang-barang milik Zarina sebelum melarikan diri.
Rahayu juga mempersoalkan mengapa bekas majikannya itu tidak membuat laporan polis terhadapnya jika benar dia mencuri.
“Berkenaan isu mencuri, sehelai habuk pun saya tidak bawa lari keluar daripada rumah Zarina dan jika benar saya mencuri, kenapa tidak laporkan pada pihak polis.
“Kenapa selepas enam bulan saya keluar dari rumah itu barulah dia mahu mengungkit tentang hal ini,” jelasnya.
Rahayu memberitahu dia terpaksa tampil menjelaskan perkara sebenar kerana dakwaan dibuat Zarina adalah fitnah dan mencemarkan nama baiknya.
“Saya mahu memberikan penjelasan ini kerana dakwaan yang dibuat oleh Zarina yang sudah mencemarkan nama baik saya.
“Dakwaan Zarina mengatakan saya pencuri adalah penipu kerana saya lari dari rumah adalah kerana sering dipukul oleh anaknya,” katanya.
Pada 21 Mac lalu, Zarina memuat naik hantaran di Instagram miliknya meluahkan rasa bengang apabila pembantu rumahnya bertindak melarikan diri hanya selepas empat bulan bekerja.
Zarina sebelum ini mendakwa pembantu rumahnya melarikan diri.
Kata Zarina, wanita asal Indonesia itu turut sempat mencuri barang-barangnya dan menghilangkan diri selepas mendapat gaji.
Pelakon itu juga mendakwa pembantu berusia 25 tahun itu melarikan diri kerana mengikut teman lelaki dan mahu hidup bebas.
Untuk rekod, Zarina mempunyai cahaya mata kembar yang menghidap autisme iaitu Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan dan Muhammad Razil Azrai yang kedua-duanya berusia 27 tahun.
Azil menghidap hyper autisme manakala Azal mempunyai mild autisme yang dikesan ketika umur mereka tiga tahun.
Baca juga: Isteri dia redha bila suami bawa aku jumpa, siap kami boleh jadi kawan