Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani diumum sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, bulan depan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub pada sidang media petang tadi.
Beliau berkata, pemilihan Mohd Azmawi diputuskan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendapat sokongan daripada kepimpinan UMNO Gua Musang serta akar umbi.
“Pemilihan ini dibuat oleh presiden parti selepas meneliti tiga nama yang dihantar oleh pimpinan UMNO Gua Musang sebelum pucuk pimpinan memilih Mohd Azmawi sebagai calon yang akan bertanding.
“Sudah tentu UMNO sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada calon muda yang bakal menjadi pewaris kepada parti.
“Kita juga yakin Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda UMNO Gua Musang mampu mengembalikan semula kerusi DUN Nenggiri bulan depan,” katanya.
Mohd Azmawi Fikri, 38, merupakan calon muda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk muncul johan Anugerah Belia Perdana pada 2022.
Selain itu, Mohd Azmawi Fikri turut komited dalam kegiatan belia serta sukarelawan melalui beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Oleh itu, beliau dilihat paling sesuai dipilih menjadi calon BN pada PRK kali ini dan Umno sentiasa menghormati, memberi kepercayaan serta menaruh harapan tinggi kepada orang muda untuk menjadi pelapis kepada perjuangan parti ini,” katanya.
Ahmad Jazlan berkata beliau dan seluruh pimpinan Umno Kelantan akan bersama Mohd Azmawi Fikri agar dapat memikul tanggungjawab besar yang diberikan.
BACA JUGA: Simpan niat nak bina rumah baru mak ayah, 11 beradik ini kongsi duit masing-masing