Anggota majlis tertinggi Umno, Annuar Musa menafikan dakwaan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi membuat pusingan U dalam menyokong kerajaan Perikatan Nasionla (PN).
Sebaliknya, Annuar yang juga setiausaha agung BN berkata pertimbangan yang dibuat Ahmad Zahid itu mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan merupakan keputusan dia sendiri.
“Laporan tersebut jelas tidak benar malah tidak wujud pun mesyuarat selama itu,” katanya mengulas laporan sebuah portal baru bahawa Zahid membuat pusingan U selepas suasana tegang dalam satu mesyuarat.
“Pertimbangan Presiden Umno mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan merupakan keputusan beliau sendiri. Presiden dan Umno memahami keutamaan adalah rakyat, apalagi bila melibatkan nyawa dan kesihatan.
“Tindakan Presiden Umno adalah tepat. Rakyat dan Negara di dahulukan, bukannya politik,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Memetik sumber, MalaysiaNow melaporkan dakwaan Zahid mengumumkan mendukung kerajaan PN selepas mendapat tekanan pemimpin Umno yang berkumpul di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur semalam.
Ini susulan tular surat yang mendakwa Zahid menyatakan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. Umno menafikan mengeluarkan surat itu.
Anwar dan Zahid
Zahid semalam mengumumkan “gencatan politik” susulan Covid-19 dan menegaskan menyokong kerajaan PN.
Zahid berkata, Umno juga mendokong kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara.
Ini berlaku seminggu setelah Umno mengancam untuk menimbang menarik sokongannya kepada PN.
Mengulas lanjut, Annuar yang juga anggota Parlimen Ketereh berkata pergolakan politik tidak akan menyelesaikan pandemik Covid19 yang melanda negara kini.
Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/547583