Caj ekstra untuk bungkus, ramai mula persoal Chef Ammar.
Baru-baru ini, Chef Ammar ada memuat naik satu hantaran menerusi laman sosial Facebooknya. Di situ, chef ini ada berkongsi pengalamannya dengan pelanggan di restorannya yang tidak berpuas hati apabila bayaran tambahan dikenakan kerana membungkus makanan mereka yang tidak habis dijamah.
Memperjelaskan situasi ini, Chef Ammar berkata, pihaknya terpaksa meminta bayaran tambahan kerana bekas yang digunakan menambah kos operasi susulan bekas tambahan perlu diberi untuk membungkus salsa segar, kuah dan salad.
“My container is costing money. We have to do double job for u to take away,” tulisnya.
Pun begitu, meninjau ke ruangan komen, ternyata luahan Chef Ammar itu mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial lain. Ada yang bersetuju dengan penjelasannya dan berkongsi sendiri pengalaman mereka sebagai peniaga.
Walau bagaimanapun, ramai juga yang kelihatan tidak setuju dengan isu caj tambahan untuk membungkus makanan ini. Ada pula yang membandingkan apabila mereka makan di kedai lain, tiada pula caj tambahan dikenakan meskipun bekas tapau yang digunakan sama seperti apa yang Chef Ammar gunakan di kedainya.
“Sepatutnya bagitaulah awal-awal pada customer ada caj untuk take away, hak pelanggan kena jaga,” tulis seorang netizen.
“Makan kat kedai arab lain takde pun kena caj ekstra sebab tapau. Container sama jugak dipakai,” kata yang lain pula.
Dalam pada itu, ada juga pengguna media sosial lain yang mengambil kesempatan untuk memberi cadangan penambahbaikan untuk Chef Ammar. Ada yang mencadangkan supaya Chef Ammar memberitahu terlebih dahulu kepada para pelanggan mengenai caj bayaran tambahan yang bakal dikenakan untuk membawa pulang makanan.
Selain itu, ada juga yang memberi idea bagaimana untuk mengelakkan pekerja-pekerja Chef Ammar untuk tidak membuat kerja berganda.
“Untuk elakkan staf buat double job. Maybe chef boleh sediakan container tapi bagitau siap-siap ada extrra caj and boleh minta customer packing sendiri je,” tulis seorang netizen.