Cegah Virus Covid-19 melalui terapi antibodi Monoklonal. Mungkin ramai tidak sedar dalaman kalangan kita ada golongan yang tiada sistem imunisasi atau jika ada ia amat lemah.
Jika sistem imunisasi lemah, golongan ini lebih terdedah kepada pelbagai ancaman penyakit kerana mereka gagal bertindak dengan baik.
Malah, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara sejak 2020, menyebabkan golongan berkenaan lebih takut untuk berada di luar rumah kerana bimbang dijangkiti virus berkenaan.
Ketika pandemik melanda di negara ini golongan berkenaan boleh menarik sedikit nafas lega apabila kerajaan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengehadkan pergerakan.
Malah, apabila kerajaan meminta untuk bekerja dari rumah, mereka antara golongan yang paling bersyukur dengan perintah berkenaan.
Walaupun, kini negara sudah berada pada fasa pandemik, semua masyarakat perlu berwaspada, tambahan pula, sekarang Malaysia sedang berdepan gelombang kecil peningkatan kes COVID-19 susulan penemuan subvarian Omicron XBB di negara ini.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), baru-baru ini juga mengeluarkan amaran, kesilapan dalam strategi menangani COVID-19 tahun ini, bakal mewujudkan ruang untuk varian baharu berbahaya muncul.
Justeru, bagi mereka rendah atau tiada imunisasi terutama yang mempunyai sejarah penyakit kronik lebih terkesan akibat penularan virus COVID-19.
Menurut Pakar Perunding Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM, Prof Madya Dr Adli Ali, mereka ini antara golongan yang perlu dibantu.
Katanya, golongan imunisasi rendah atau tiada imunisasi dalam kalangan mereka yang sejak lahir tiada sistem imunisasi akibat penyakit imunodefisiensi primer (PID) atau kurang imuniti disebabkan jangkitan seperti HIV, pesakit kanser, akibat masalah genetik, penerima organ dan banyak lagi.
“Mereka juga antara golongan penerimaan vaksin COVID-19, tidak mencukupi kerana ia tidak memberi perlindungan akibat tahap imunisasi mereka yang kurang atau tidak berfungsi dengan baik.
“Oleh itu, sehingga kini, dalam keadaan negara yang hampir kembali kepada keadaan asal apabila semua aktiviti sudah boleh dilakukan seperti biasa, golongan ini berasa takut kembali.
“Malah, ada yang terpaksa meminta doktor mereka untuk membuat surat memaklumkan mereka perlu terus bekerja dari rumah akibat masalah dihadapi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbincangan Meja Bulat Mengenai Terapi Antibodi Monoklonal bagi pencegahan COVID-19 di sini, baru-baru ini.
Turut menyertai perbincangan itu adalah Pengarah Penyakit Berjangkit di Perkhidmatan Kesihatan Mater, Fakulti Perubatan, Universiti Queensland, Australia, Prof Madya Paul Griffin.
Dr Adli berkata, sehingga kini golongan itu perlu terus berhati-hati untuk mengelak daripada dijangkiti sebarang virus.
Ini kerana jika mereka dijangkiti sebagai contoh COVID-19, ia akan menyebabkan jangkitan terus menjadi teruk berbanding golongan biasa.
“Mereka masih boleh mengambil vaksin, tetapi ia ternyata tidak memberikan sebarang kesan begitu juga rawatan lain yang ada.
“Golongan ini perlu sentiasa lebih berhati-hati dalam hidup bagi mengelak dijangkiti sebarang penyakit atau virus,” katanya.
Justeru katanya, dengan teknologi yang ada ketika ini, terdapat terapi yang dapat membantu golongan berkenaan.
Terapi Antibodi Monoklonal yang mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) sudah boleh didapati di pelbagai pusat penjagaan kesihatan kerajaan atau swasta di negara ini.
Katanya, mereka yang layak boleh mendapatkan terapi itu yang berkesan terhadap mereka dari segi imunisasi terutama COVID-19.
“Golongan berisiko digalakkan mendapatkan terapi ini kerana ia dapat membantu mencegah penyakit terutama COVID-19,” katanya.
Sementara itu Paul berkata, terapi berkenaan tidak akan memberikan sebarang kesan sampingan berbanding penggunaan vaksin COVID-19.
Oleh itu, katanya ia mampu memberikan perlindungan tahap tinggi yang berkesan untuk tempoh enam bulan dengan hanya dua suntikan terapi.
“Di Australia terapi ini sudah digunakan sejak awal tahun ini dan setakat ini pengguna tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan.
“Malah, ia lebih selamat daripada produk antibodi yang lain yang berada di pasaran ketika ini,” katanya.
Sama seperti Malaysia, di Australia juga mereka yang mempunyai imunisasi rendah atau tiada tahap imunisasi berasa takut dengan pandemik.
“Golongan ini lebih rela berada di rumah bagi mengurangkan kesan sekali gus menjadi dominan pada masa ini,” katanya.
Akuinya, cabaran terbesar yang dihadapi pihaknya berkenaan terapi itu adalah untuk meyakinkan kepada penggunanya tahap keberkesanannya.
Katanya, ini kerana masih ramai yang tidak mengetahui mengenai kewujudan terapi itu bukan sahaja di Australia tetapi juga di Malaysia.
“Oleh itu, penting untuk doktor atau pusat perubatan untuk mempunyai kesedaran mengenai terapi ini terlebih dahulu supaya mereka dapat mengesyorkan kepada golongan memerlukan,” katanya.
Beliau juga berharap, di mana-mana sahaja, golongan berkenaan terus diberi tumpuan juga kerana mereka juga manusia yang memerlukan bantuan.
Katanya, walaupun COVID-19 adalah pandemik yang melanda dunia dan menyebabkan banyak jangkitan dan kematian, tetapi golongan berkenaan juga tidak sepatutnya dipinggirkan.
“Mereka juga antara insan yang perlu menerima bantuan sewajarnya kerana hingga kini masih ramai yang takut dengan pandemik dan lebih rela duduk di rumah,” katanya.
Info mengenai Antibodi Monoklonal
* Sejenis protein melekat pada pepaku protein coronavirus dan mampu mengurangkan keupayaan virus itu menceroboh sel badan.
* Rawatan membabitkan gabungan dua jenis ubatan suntikan
* Dibangunkan oleh Universiti Tsinghua dengan kerjasama Hospital Third People, Shenzhen dan Brii Biosciences
BACA JUGA:
Dekorasi ayat suci al-Quran ditemui di lokasi pembuangan sampah haram
Isu integriti membabitkan industri halal mengurangkan keyakinan terhadap jenama halal Malaysia
Salsabila yang dilaporkan hilang selepas keluar dari inap desa ditemui selamat