Chegubard mahu berhenti politik fokus jadi polis

Tuduhan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard terhadap calon BN Syed Hussein Syed Abdullah mempunyai rekod jenayah dilihat sebagai keterlaluan.

Menurut Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, tindakan Badrul itu adalah lebih bersifat provokasi sepanjang kempen.

Mohd Zuhan turut menyindir Badrul yang berlebih-lebih dalam kempen PRK Dun Mahkota sehingga mampu merentas kerjaya menjadi seorang pegawai penyiasat polis.

“Polis pun tak cakap apa dia (Badrul) yang terlebih-lebih, ini lagi hebat dari pegawai penyiasat ni.

“Inilah wajah sebenar pemimpin PN yang sembur dulu kemudian minta maaf dan tarik balik.

“Dah berapa kali dah taktik yang sama dimainkan tapi walau bagaimanapun tuduhan ini sengaja diadakan bagi menanam persepsi buruk terhadap calon Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zuhan turut menyatakan laporan polis telah pun dibuat berkenaan tuduhan Badrul terhadap Syed Hussein semalam di balai polis Kluang, Johor.

Tambah Naib Pengerusi Amanah Johor itu lagi, kenyataan Badrul itu menggambarkan bahawa PN sedang dalam keadaan lemah menjelang hari pembuangan undi Sabtu ini.

“Kita nak tahu senang je, bila buat tuduhan peribadi, fitnah sana sini, reka cerita dibuat itulah petanda bahawa PN memang berhadapan dengan situasi yang sukar.

“Dah tak ada modal, jadi apa yang mereka buat adalah dengan reka cerita dan jaja aib orang tanpa takut dengan hukum hakam agama sendiri,” katanya lagi.

PRK Dun Mahkota akan mebuang undi pada Sabtu ini.

Baca juga : PN berniat jahat nafikan kerakyataan bangsa Cina