COVID-19: Amerika Syarikat bakal tamatkan darurat kecemasan pada 11 Mei
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, memberitahu Kongres bahawa kerajaan akan menamatkan darurat COVID-19 pada 11 Mei ini, berikutan kebanyakan negara sudah hampir kembali normal.
Langkah untuk menamatkan darurat dan kecemasan kesihatan awam secara rasmi itu akan menyusun semula tindak balas rawatan COVID-19 yang sebelum ini dianggap sebagai ancaman endemik kepada kesihatan awam dan kini boleh diuruskan oleh pihak berkuasa biasa.
Pengumuman Biden itu dibuat ketika Republikan mengemukakan usul menentang resolusi menamatkan darurat serta memulakan siasatan terhadap tindak balas kerajaan Persekutuan dalam menangani ancaman coronavirus.
Pengisytiharan pandemik COVID-19 sebagai darurat diumumkan oleh Presiden ketika itu, Ronald Trump pada 13 Mac 2020.
Darurat itu kemudiannya dilanjutkan beberapa kali oleh Biden sejak beliau memegang jawatan berkenaan pada Januari 2021.
Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, dalam Penyata Dasar Pentadbiran, menyatakan pemberhentian secara mendadak darurat itu akan mewujudkan ketidakpastian dan huru hara dalam sistem penjagaan kesihatan negeri, hospital dan paling penting kepada puluhan juta rakyat AS.
Tindakan Kongres menamatkan kecemasan kesihatan awam turut mengakhiri tawaran perlindungan insurans kepada jutaan penduduk AS dan pembiayaan kebanyakan program kerajaan Persekutuan berkaitan COVID-19.
Sehubungan itu, pembangunan vaksin dan rawatan tidak lagi diuruskan kerajaan Persekutuan semata-mata.
Penggubal undang-undang itu sebelum ini beberapa kali menolak permintaan Biden untuk menambah berbilion dolar bagi melanjutkan pemberian vaksin dan ujian COVID-19 secara percuma.
Dalam pada itu, pakej perbelanjaan AS$1.7 trilion (RM7.2 trilion) yang diluluskan tahun lalu menjadi undang-undang oleh Biden, turut memansuhkan peraturan melarang negeri menamatkan bantuan Medicaid, langkah yang mungkin menyaksikan jutaan orang hilang perlindungan insurans selepas 1 April.
Kos bagi mendapatkan vaksin COVID-19 juga dijangka akan meningkat selepas kerajaan berhenti membelinya dan Pfizer memaklumkan akan mengenakan bayaran sebanyak AS$130 (RM551.85) untuk setiap dos. Sehingga kini hanya 15 peratus penduduk AS sudah menerima dos penggalak.
Sebaik saja darurat tamat, mereka yang mempunyai insurans swasta perlu menambah beberapa kos lain untuk vaksin, ujian dan rawatan manakala mereka yang tidak mempunyai insurans perlu membayar keseluruhan perbelanjaan berkenaan.
Sejak COVID-19 dikesan pada 2020, sebanyak 1.1 juta rakyat Amerika dilaporkan maut akibat jangkitan berkenaan termasuk 3,700 terkorban pada minggu lalu dan AS kekal sebagai negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 di dunia.
BACA JUGA:
SABAH: Mangsa banjir Sabah meningkat
Pencuri larikan bas alami kemalangan, telah ditangkap
Muhyiddin sifatkan pembentukkan Kerajaan Perpaduan hanyalah sekadar membalas budi Zahid