Cuti balik kampung, perhambakan mak ayah itu dosa besar

Cuti balik kampung, perhambakan mak ayah itu dosa besar. Suasana meriah apabila pulang ke kampung, berkumpul adik-beradik dan sanak-saudara berjumpa dengan ibu dan ayah menjadi sebuah satu kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan dan rahmat yang besar di Hari Raya.

Namun, dalam kemeriahan dan kegembiraan itu janganlah sampai terlupa tentang adab bila berkunjung pulang ke rumah ibu bapa. Jangan sampai kita lalai sehingga secara sengaja atau tidak telah memper’hamba’kan orang tua sendiri. Ikuti perkongsian nasihat yang dibuat oleh Muharrik Daie.

Semoga kita sama-sama dapat mengambil iktibar dan berubah diri ke arah kebaikan.

JANGAN ‘HAMBA’KAN MAK AYAH DI HARI RAYA

Antara bentuk derhaka anak-anak di hari raya adalah, kita biarkan mak kita yang dah tua nak mati itu bersusah payah masak didapur, kita laki bini membungkang tidur tak ingat dunia. Bangun-bangun, terus cari makan isi tembolok kita macam tuan besar.

Itu menunjukan kita tidak berperibadi islam. Tidak beradab. Dan tidak berakhlak islam. Kalau tak malu pada ibu ayah, malulah pada Allah.

Orang dulu dulu, anak-anak perempuan dan lelaki amat menjaga adab dan rasa malu bila berkunjung dan berziarah ke rumah orang tua.

Awal pagi dah bangun, kemas tempat tidur, mandikan anak-anak dan memasak serta membantu ibu ayah di dapur. Terkadang melarang ibu mereka memasak dan malah merekalah yang memasakan untuk ibu mereka kerana itulah masanya mereka berbakti untuk ibu ayah.

KEBANYAKAN ANAK-ANAK SEKARANG SUDAH HILANG MALU

Kebanyakan anak-anak sekarang sudah tak macam dulu. Mereka hilang malu. Dan malu sudah tiada dalam akhlak mereka. Mereka hanya malu buka aurat saja tapi tidak malu membuka pekung akhlak buruk mereka dihadapan orang tua.

Malah ada yang bangun lambat dan tak sembahyang Subuh pun. Tempat tidur berselerak. Anak-anak mereka yang bangun pagi dibiar macam anak-anak ayam kelaparan. Ibu ayah merekalah yang kelam kabut nak uruskan makan minum kencing berak anak-anak mereka. Zalimkan?

Jangan dihairankan! Di mana mana pun kita pergi, kita akan jumpa situasi ini dan species anak-anak yang begini. Malah terkadang berlaku dalam keluarga kita sendiri. Itulah akhir zaman.

Mak ayah bukan tak nak tegur, tapi takut nak menegur kepada anak-anak. Takut ditengking anak-anak. Maklum lah anak-anak dah bagi duit raya pada mak ayah.

Kalau ditegur nanti, mencukalah muka anak-anak menantu dan tak nak balik lagi. Mak ayah pun takut kena gossip oleh anak-anak menantu mereka bila anak-anak menantu berkumpul sesama mereka.

PILIHLAH JODOH ANAK YANG BAIK AKHLAK & KETURUNANNYA
Sebab itu mak ayah ni kalau nak pilih menantu, pilihlah yang berakhlak dan dari keturunan yang baik-baik. Jangan nampak pakai tudung dan pakai lebai serta cium tangan saja, dah rasa bakal menantu ni ahli syurga. Jangan sekali kali.

Zaman sekarang ni ramai ‘scammer’. Bakal menantu pun boleh jadi scammer. Berpura pura bagus sebelum kahwin.

Mana yang dah dapat menantu scammer tu, nasihat nasihatlah mereka. Jangan biar mereka berakhlak begitu nanti keturunan kita pun akan ikut apa yang mak ayahnya buat.

PEPATAH ORANG PUTIH PERNAH MENYATAKAN ‘WHAT YOU GIVE, YOU GET BACK’

Kalau mak ayah nya tak sembahyang Subuh, keturunan pun akan jadi begitu. Kalau mak ayahnya menghambakan mak atau mertua mereka, anak-anak mereka pun akan perlakukan kepada mereka juga. Ingat pepatah orang putih, “What you give, you get back.”

Jangan sedap hati dapat menghambakan mak ayah dan mertua walau dalam sedar atau tak sedar. Ia tetap dosa. Bukan dosa kecil tapi dosa besar.

Bagi yang lelaki, wajib mereka menasihati anak bini supaya menghormati mak ayah dan mertua serta bertimbang rasa dengan mereka.

Jangan fikir keluarga kamu nak mudah dan senang lenang saja. Rumah mak ayah atau mertua bukan hotel atau homestay atau untuk ‘me time’ anak bini kamu tapi adalah tempat kamu berbakti kepada ibu ayah.

Ingat! Syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Moga manfaat untuk renungan. Maaf andai terkasar bahasa.

BACA JUGA:

6 hari tersorok dalam semak dan rumput tinggi, akibat minum dan memandu

Akhirnya Menteri, KKM selesai isu jawatan tetap bidang kesihatan

Pertingkat kualiti kebersihan di semua peringkat, antara faktor utama menarik pelancong, tegas Menteri