DAP, bala tentera Melayu, agenda Cauvinisme, baca apa pula sketsa dongengan Hadi kali ini

DAP, bala tentera Melayu, agenda Cauvinisme, baca apa pula sketsa dongengan Hadi kali ini. DAP yang didakwa membawa agenda cauvinisme dan murtad sudah tidak perlu bersuara, kerana mereka telah berjaya mengadakan bala tentera Melayu yang tidak bermaruah agama dan bangsa dalam kalangan parti itu sendiri.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perjuangan menegakkan agenda tersebut turut disertai PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersamanya, sekaligus melantangkan suara bagi pihak DAP.

Menurut beliau, kini, mereka pula berjaya menarik daripada kalangan UMNO yang menyerah kalah demi kepentingan diri tertentu sahaja.

“Sehinggakan, UMNO telah meninggalkan asas perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara, serta melanggar resolusi Perhimpunan Agung mereka yang menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan angkatannya.

“Kami percaya terdapat sebahagian besar pemimpin UMNO tidak reda dengan langkah songsang oleh segelintir pemimpin mereka, bahkan ada yang secara terbuka melakukan protes,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, kenyataan yang sebenar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah DAP dan parti-parti sekutunya hanya memperoleh kemenangan dengan mengerahkan pengundi bukan Islam yang diugut dengan Islamofobia, dari seluruh pelosok tanah air sehingga luar negara.

Beliau memberitahu, akhirnya, peratusan golongan bukan Islam yang keluar mengundi mencecah jumlah 98 peratus, namun mereka hanya memperoleh beberapa peratus yang kecil daripada undi orang Melayu Islam termasuk sebahagian yang berijazah.

“Manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan 60 peratus pengundi Melayu Islam, bersama sokongan sebahagian besar pemimpin dan akar umbi UMNO yang masih setia kepada agama dan bangsanya.

“Termasuklah sokongan parti bukan Melayu yang tidak fanatik perkauman seperti Gerakan, MCA, MIC, termasuk Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP), dan lain-lain. Akan tetapi, PN tidak dilayan secara sopan,” jelasnya.

Abdul Hadi berkata, PN telah melaksanakan pendekatan kerjasama mengikut adab demokrasi dan undang-undang dengan mencapai kerusi yang boleh bertahan untuk mendapat kuasa politik yang sebenar secara demokrasi.

Malangnya, kata beliau, ia dipintas dengan dilakukan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum.

“DAP dan rakan-rakannya terus melatah tidak mampu mengawal perasaan kebenciannya terhadap Islam, Melayu dan bumiputera, apabila membawa isu mengenai bahaya gelombang hijau,” katanya.

Abdul Hadi berkata, perkara itu sekaligus mendedahkan warna kemerahan anti-Islam yang ada dalam diri mereka bersama parti-parti lain, laksana gerabak kereta api di belakangnya yang sebenarnya membawa bahaya kepada negara dan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Apabila hendak dilakukan protes terhadap amalan yang salah mengikut adab dan akhlak demokrasi sebenar yang adil dan telus, tiba-tiba mereka berhujah dengan mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh penjajah pada zaman dahulu dengan menonjolkan isu melawan raja bukannya melawan penjajah,” jelasnya.

BACA JUGA:

Bersambung Jumaat, pencarian akhir di tanah runtuh Batang Kali

Taja RM1.1 juta naik taraf pameran orang utan Borneo di Zoo Negara, MPOGCF pupuk kesedaran pemuliharaan hidupan liar

Prakash didakwa menipu wanita, yang juga Penolong Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hingga kerugian sebanyak lebih RM500k

COMMENTS

Wordpress (2)
  • […] DAP, bala tentera Melayu, agenda Cauvinisme, baca apa pula sketsa dongengan Hadi kali ini […]

  • […] DAP, bala tentera Melayu, agenda Cauvinisme, baca apa pula sketsa dongengan Hadi kali ini […]