Dhol dan wanita, kini terbukti serasi, bahkan semakin dikenali ramai.
Pasangan kembar, Rebecca & Rachel pecah dominasi lelaki. Jadi pemain dhol wanita tunggal negara
KELIBAT pasangan kembar Rebecca dan Rachel Joseph yang muncul dalam satu program televisyen tempatan menarik perhatian SinarPlus.
Latar belakang diri anak muda itu dicari. Akhirnya kami menemui Instagram mereka, lalu mesej ‘melamarnya‘ untuk diwawancara dilayangkan.
Bukan atas faktor mereka ialah pasangan kembar, tetapi kebolehan kedua-duanya bermain alat muzik tradisional India, dhol.
Dhol ialah gendang yang digunakan secara meluas di beberapa negara di Pakistan dan Bangladesh termasuk di India.
Ketika bertandang ke Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor, Rebecca dan Rachel yang baru berusia 24 tahun ditemani ibu tercinta, Priscilla Saroja Devi Narayanan.
Mengenakan persalinan sari paduan rona biru dan merah jambu untuk sesi penggambaran pertama, penulis pada awalnya agak sukar membezakan yang mana satu kakak dan adik.
Sambil tertawa, mereka seraya memberitahu, Rebecca ialah kakak yang lebih senang dengan gaya rambut pendek, sementara Rachel berambut panjang dan lebih feminin.
Sudah pastinya soalan pertama yang bermain dalam benak, mengapa dhol menjadi alat muzik pilihan? Kenapa tidak piano atau biola? Bukankah dhol lebih sesuai dimainkan oleh lelaki, sementelah berat instrumen berkenaan mencecah 7 kilogram (kg)?
Sebelum menjawab pertanyaan tersebut, Rebecca terlebih dulu berkata, mereka tidak menyangka akan menjadi individu yang dikenali gara-gara bermain dhol.
“Ya, sesuatu yang kami tak duga, tetapi kami bersyukur,“ katanya sambil Rachel mengangguk tanda bersetuju.
Ibu jadi teladan
Kongsi remaja itu lagi, mereka berdua bukanlah lahir daripada keluarga yang memiliki darah seni. Mereka dan alat muzik dhol sebenarnya ‘serasi‘ selepas tercetus satu ‘insiden‘.
“Permulaan kami bermain dhol ini sebenarnya berlaku secara tak sengaja. Pada awalnya, kami ingin mengundang pemain dhol untuk membuat persembahan pada majlis perkahwinan kakak sulung, namun bayaran yang dikenakan agak mahal.
“Jadi saya dan Rachel bersepakat untuk membeli dua buah dhol dengan harga RM1,000 setiap satu. Harga itu sangat berbaloi dan paling penting, kami dapat buat persembahan dan meninggalkan kenangan manis buat keluarga,“ tuturnya.
Mahu dijadikan cerita, pandemik Covid-19 telah memaksa upacara istimewa tersebut ditunda.
“Disebabkan semua orang tak dibenarkan keluar rumah, kesempatan itu kami gunakan untuk belajar bermain dhol dengan hanya ‘bergurukan‘ platform YouTube. Lama-kelamaan kami berdua jatuh cinta dengan dhol sehinggakan rasa hari kami tak lengkap jika ketukan bunyi dhol tidak kedengaran,“ selorohnya.
Nada Rebecca menjadi serius kembali apabila menyentuh perkaitan gender dan dhol. Ya, katanya, alat muzik itu agak berat, tetapi adakah ia satu hal yang perlu difikirkan secara kritikal?
“Dalam menjawab pertanyaan ini, suka untuk saya katakan, sejak kecil, ibu sentiasa mengajar kami untuk tidak berputus asa atau meletakkan batas dalam melakukan sesuatu aktiviti.
“Ibu juga sering mengingatkan bahawa tak semestinya aktiviti berat dan lasak hanya perlu dilakukan oleh lelaki sahaja. Disebabkan itu, sama ada saya atau Rachel, kami tak pernah menyerah dengan mudah dalam apa jua perkara yang dibuat, jadi tak timbul sebarang isu,“ tegasnya.
Rachel pula mengambil tempat menambah hujah. Kata beliau, sosok wanita bernama Priscilla Saroja juga sering menggalakkan anak-anaknya mencuba sesuatu yang baharu.
“Ibu turut memberi contoh dan teladan yang baik kepada kami apabila beliau sehingga kini masih aktif mengikuti kelas-kelas kemahiran,“ ungkapnya.
Jemputan antarabangsa
Melanjutkan bicara, Rebecca dan Rachel memberitahu penulis, bermain dhol kini telah menjadi karier tetap mereka. Lebih membanggakan, kedua-duanya merupakan individu tunggal dalam kalangan wanita yang bermain instrumen tersebut di Malaysia.
Keunikan itulah barangkali menjadi daya penarik orang ramai untuk mengupah Rebecca dan Rachel memeriahkan majlis keraian seperti perkahwinan atau sambutan ulang tahun.
Tidak menyesal meninggalkan dunia makan gaji, Rachel berkata, dalam tempoh sebulan mereka akan membuat persembahan di lebih 15 lokasi.
Graduan Asasi Reka Bentuk, Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya, Selangor tersebut menambah, mereka juga pernah dijemput mengadakan persembahan di luar negara seperti di Singapura, India, Maldives dan Emiriah Arab Bersatu.
“Saya tak tahu bagaimana orang luar negara boleh tahu kewujudan kami berdua. Mungkin disebabkan video yang dirakam oleh para tetamu dan dimuat naik ke laman sosial,“ katanya.
Pun demikian, pasangan kembar berkenaan terpaksa menolak pelawaan yang diberikan, meskipun mempunyai keinginan untuk melebarkan sayap ke persada dunia.
“Memandangkan kami begitu sibuk dengan acara dalam negara, agak mustahil untuk pergi ke sana tanpa apa-apa persiapan. Jadual bulanan memang penuh dengan jemputan sehinggakan kami tidak mempunyai masa untuk berlatih.
“Jika skedul tak padat, kami berlatih dua kali seminggu. Sesibuk bagaimanapun, kami akan pastikan akan memukul gendang sekurang-kurangnya sekali,“ tuturnya yang turut menerima tawaran untuk mengajar kanak-kanak bermain dhol.
Bagi memantapkan lagi skil juga, kedua-duanya sebulat suara melantik seorang jurulatih persendirian merangkap pengurus.
“Jurulatih sering mengingatkan kami untuk tidak melangkau jadual pemakanan dan perbanyak nikmati sumber protein, minuman jus dan vitamin. Kami juga memasuki kelas senaman dengan dipantau oleh jurulatih.
Tubuh badan yang sihat amat didambakan sebagai pemain dhol profesional.
Tenaga dan gaya tarian termasuk pemilihan lagu selalunya dilakukan sama seperti yang dilakukan dalam latihan.
Mengenai dhol yang begitu berat untuk dipikul, ujar Rachel, itu sebabnya mereka amat menitik beratkan aspek pemakanan sihat.
“Secara purata, kami bersenam lima kali seminggu dengan melakukan latihan gerak badan pada bahagian otot dada, bahu dan triseps. Kemudian diikuti senaman yang memfokuskan bahagian atas tubuh dan akhir sekali, latihan otot kaki,“ katanya.
BACA JUGA:
Di mamah jerung harimau, wanita ini meninggalkan mesej terakhir