Dibenarkan tangguh, namun keputusan mahkamah penjara sebulan adalah dikekalkan

Dibenarkan tangguh, namun keputusan mahkamah penjara sebulan adalah dikekalkan. Mahkamah Rayuan memutuskan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kekal dipenjara sebulan mengikut keputusan Mahkamah Tinggi, tahun lalu.

Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu terhadap Lokman, selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membenarkan permohonan pasukan peguam Lokman, supaya hukuman penjara itu ditangguh sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Peguam bela Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, atas alasan kes berbangkit bermerit dan wujud persoalan undang-undang.

Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan, secara sebulat suara membuat keputusan itu selepas Mahkamah Tinggi didapati tidak membuat kesilapan apabila menjatuhkan hukuman berkenaan.

Che Mohd Ruzima berkata, ia berikutan dapatan yang diperoleh melalui laporan polis dan kenyataan media dikeluarkan Lokman, membabitkan perbicaraan berkenaan.

“Hasil penelitian terhadap laporan polis itu, ia boleh diklasifikasi di bawah Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah. Cumanya ayat pada akhir laporan itu yang memerlukan perhatian.

“”Ayat itu berbunyi adalah tidak masuk akal Najib orang yang teraniaya akibat nama digunakan oleh manusia-manusia durjana didakwa mencemar imejnya, sedangkan mereka memperoleh manfaat daripada kelakuan jenayah kini bebas serta tidak didakwa.

“Bagi kami, perkataan manusia durjana dan memperoleh manfaat daripada kelakuan jenayah, bebas serta tidak didakwa sudah tentu merujuk kepada Datuk Amhari Efendi Nazaruddin (saksi yang juga bekas pegawai khas Najib).

“Bagi kenyataan media pula, perayu (Lokman) mengemuka ulasan dan komen mengenai perbicaraan SRC International Sdn Bhd (anak syarikat 1MDB) dan menyebut beberapa individu, termasuk Amhari dan saksi lain dalam bentuk amaran,” katanya.

Akhir bulan lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Dusuki Mokhtar, berkata tempoh penjara sebulan terhadap Lokman, tidak memadai bagi melindungi integriti sistem kehakiman dan memberi pengajaran kepada orang awam.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan hukuman penjara minimum tiga bulan sebagai indikasi tiada toleransi diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghina mahkamah.

Muhammad Shafee turut memohon anak guamnya tidak dipenjara, sebaliknya memadai sekadar didenda maksimum RM2,000.

Pada 15 Julai tahun lalu, Hakim Collin Lawrence Sequerah, menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, menjurus kepada intimidasi dan ancaman serta menghina mahkamah.

Mengenai rayuan kedua-dua pihak terhadap hukuman penjara itu, Che Mohd Ruzima berkata, tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan ‘mengusik’ keputusan dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini.

“Kedua-dua rayuan itu tiada merit. Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu berdasarkan pertimbangan serius, kepentingan awam dan faktor sampingan berkaitan.

“Kami sebulat suara bersetuju hukuman penjara itu adalah wajar dan munasabah. Mahkamah rayuan menolak kedua-dua rayuan itu, maka keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

BACA JUGA:

Strong, formidable, convincing, kini bukan lagi bahan ejekan, tetapi tanda keunggulan PMX

Tidak sinonim dengan istilah prostat, biasanya lelaki muda terlambat ambil tahu bila sudah terkena

Akhirnya penyanyi dan pelakon terkenal tinggalkan Muafakat Nasional