Disyaki kemuka tuntutan palsu, SPRM tahan pemilik syarikat percetakan

Disyaki kemuka tuntutan palsu, SPRM tahan pemilik syarikat percetakan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat menahan seorang pemilik syarikat percetakan bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, dua tahun lalu.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira jam 5 petang pada Selasa selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2021, suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah sekolah menengah di sebuah daerah di negeri ini berkaitan pembekalan cetakan modul pembelajaran untuk kegunaan pelajar, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 9 pagi Rabu ini bagi mendapatkan permohonan reman.

BACA JUGA:

Muhyiddin nafi dakwaan seleweng RM92.5 bilion

Thailand tidak akan ulangi kesilapan yang sama untuk menentang Harimau Malaya di separuh akhir kedua Piala AFF

Isu penyelarasan umur kanak-kanak kepada 18 tahun dalam akta yang berkaitan dibincangkan